FIFA beri amaran

Saingan Bundesliga akan disambung semula awal bulan depan.
Saingan Bundesliga akan disambung semula awal bulan depan.
A
A
A

PENGERUSI Jawatankuasa Perubatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Michel D'Hooghe menasihatkan saingan liga seharusnya tidak dimulakan semula dalam masa terdekat.

Menurutnya, tempoh waktu terbaik untuk kembali memulakan saingan liga adalah pada penghujung Ogos atau awal September bergantung kepada keadaan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia ketika ini.

Covid-19 menyebabkan acara sukan di seluruh dunia termasuk bola sepak telah ditangguhkan sejak Mac lalu dan kini beberapa negara sudah mula menyatakan keinginan mahu menyambung saingan liga seawal Mei atau Jun ini.

"Walaupun bermain tanpa kehadiran penonton ia tetap berisiko. Kita semua perlu akur pada keputusan pihak berkuasa di negara masing-masing.

“Bola sepak sudah menjadi perkara nombor dua ketika ini dan bukanlah perkara yang paling penting dalam hidup. Saya sangat gembira jika kita dapat memulakan semula saingan liga 2020-21 pada akhir Ogos atau awal September," katanya.

Terdahulu, beberapa negara sudah mula menyatakan hasrat untuk menyambung semua saingan liga termasuk Liga Jerman, Jepun, Korea Selatan dan Australia.

Beliau turut menggesa semua pihak meneliti kembali hasrat menyambung semula saingan kerana ia akan memberikan kesan buruk dan akan menyebabkan tercetus gelombang kedua wabak itu.

"Dalam karier, saya pernah menyaksikan banyak situasi antara keseimbangan ekonomi dan kesihatan. Selalunya ekonomi yang menang dengan faktor kesihatan seperti jerebu dan sebagainya diabaikan dalam bola sepak.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi sekarang, bukan waktu untuk berkompromi dan faktor kesihatan sepatutnya diambil kira pada ketika ini. Ia bukan soal wang tetapi ia sudah masuk soal hidup atau mati," katanya.

Jelas D'Hooghe, risiko paling besar boleh berlaku kepada pemain di bilik persalinan dan tabiat meludah di atas padang oleh pemain yang boleh menyebabkan virus merebak.