Lelaki ugut tikam adik guna pemutar skru

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

BUTTERWORTH - Seorang lelaki ditahan selepas bertengkar dan mengugut untuk menikam adik kandungnya menggunakan pemutar skru di Taman Desa Murni, Sungai Dua di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek dikatakan datang ke rumah keluarganya lalu berlaku pertengkaran mulut dengan adiknya yang berusia 29 tahun.

Menurutnya, dalam kejadian pada jam 8.20 malam itu, suspek telah mengeluarkan kata kesat sambil mengambil pemutar skru dan mahu menikam perut adiknya.

"Kejadian itu turut disaksikan kedua-dua ibu bapa dan adik perempuan mereka. Bimbang berlaku perkara tidak diingini berlaku, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Dua.

"Siasatan awal mendapati, mangsa mendakwa punca pertengkaran itu disebabkan abangnya sering mabuk dan merupakan seorang penagih dadah," katanya ketika dihubungi tadi.

Beliau berkata, hasil maklumat yang diperoleh, suspek yang berusia 30-an berjaya ditahan.

"Ujian saringan air kencing suspek negatif namun dia mempunyai beberapa rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan kita akan mendapatkan perintah tahanan reman hari ini bagi tujuan siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: