Insiden 'terjatuh' terus hantui Gerrard

Steven Gerrard
Steven Gerrard
A
A
A

LEGENDA Liverpool, Steven Gerrard berkemungkinan masih belum dapat melupakan kesilapan yang dilakukannya ketika tewas kepada Chelsea sekali gus meranapkan impian The Reds meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2013-14.

Bekas penyerang Chelsea, Demba Ba berkata, dia yakin Gerrard masih rasa bersalah dengan insiden tersebut yang turut menghampakan harapan peminat Liverpool yang mahu menamatkan penantian panjang menjulang trofi tersebut.

"Saya rasa perkara itu masih bermain di fikirannya walaupun selepas enam tahun insiden itu berlalu. Jika saya berada di tempatnya, saya juga akan sedih dan kecewa.

"Sukar untuk seorang pemain legenda dan harapan pasukan, tetapi menjadi penyebab kepada kekalahan pasukan sehingga gagal menjulang trofi EPL. Saya masih bersimpati dengannya," katanya.

Gerrard dan Liverpool pada ketika itu sedang mengharungi perjalanan cemerlang saingan liga dengan 11 kemenangan dan menjadi tuan rumah kepada Chelsea dalam perlawanan yang menyaksikan The Reds tewas 0-2.

Liverpool ketika itu hanya memerlukan tujuh mata dalam tiga perlawanan terakhir untuk mengesahkan kejuaraan liga, namun kesilapan Gerrard yang terjatuh pada separuh masa pertama membenarkan Ba menjaringkan gol pertama.

Pemain sayap Chelsea, Willian melengkapkan derita anak buah Brendan Rodgers itu dengan gol kedua sekali gus menyaksikan Liverpool mengakhiri saingan liga di kedudukan kedua perbezaan dua mata dengan Manchester City yang muncul juara EPL musim itu.

Sebelum ini, Gerrard juga pernah mengakui luka insiden itu tidak akan berjaya diubati walaupun Liverpool berjaya merangkul trofi EPL musim ini.

Artikel Berkaitan:

“Luka ini masih berdarah sejak pengalaman saya itu. Saya tidak pasti ia boleh sembuh kerana saya tidak boleh mengubah pengalaman.

“Ia tidak memberi kesan bagaimana saya rasa (mengenai Liverpool) hari ini. Saya lihat kepada pemain dalam skuad, sesetengahnya masih kawan saya. Saya lihat sokongan dari bangku penonton dan seluruh dunia.

“Saya hanya berharap demi mereka dan saya sendiri sebagai penyokong, pada hujung pertandingan ini mereka muncul pemenang. Tapi ia tidak akan menyembuhkan luka saya,” kata Gerrard, yang meninggalkan Liverpool pada 2015 selepas 17 tahun di kelab Merseyside itu.