Muhammad Syazwan belajar dialek Sabah sebar ajaran Islam

Bantuan dihulurkan kepada penduduk di Pulau Banggi.
Bantuan dihulurkan kepada penduduk di Pulau Banggi.
A
A
A

KUDAT - Seorang pendakwah bebas, Muhammad Syazwan Khamis sanggup merentasi lautan berhijrah ke Pulau Banggi, Kudat Sabah demi menyebarkan ajaran Islam.

Setelah empat tahun menetap di Pulau Banggi bersama isteri, Khairul Fitriah Hamid, 30, dan tiga anak, beliau terpaksa akur perlu mengharungi pelbagai cabaran berada di pedalaman.

Sebelum berhijrah ke Pulau Banggi, beliau sering berulang-alik dari Kedah ke Sabah selama setahun untuk bertemu Khairul Fitriah yang bertugas sebagai ustazah.

Bercerita lanjut, disebabkan minat mendalam dalam ilmu agama sejak sekolah rendah, beliau yang berusia 30 tahun sanggup belajar dialek Sabah bagi memudahkan komunikasi dua hala dengan penduduk.

"Komunikasi adalah cabaran utama ketika mula menjalankan aktiviti dakwah di Pulau Banggi, tetapi atas bantuan penduduk tempatan, usaha saya menjadi lebih mudah untuk mendekati masyarakat di sini.

"Cabaran kedua untuk meyakinkan orang ramai menerima kehadiran saya sebagai orang luar. Justeru, bantuan orang di situ sangat diperlukan untuk bimbing mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Bantuan dihulurkan kepada penduduk di Pulau Banggi.
Bantuan dihulurkan kepada penduduk di Pulau Banggi.

Muhammad Syazwan berkata, dia membuat keputusan untuk berhijrah ke Sabah selepas dikurniakan anak pertama pada November 2015.

Artikel Berkaitan:

"Isteri mengajar di Sabah, jadi saya perlu ke sana kerana tidak mahu berpisah dengan mereka.

"Saya juga tak lupa untuk mohon restu daripada ibu dan ayah supaya benarkan saya hijrah ke Sabah." katanya.

Anak kelahiran Perlis itu akur, program menziarah sambil berdakwah terpaksa dilakukan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding sebelum ini turun padang mengadakan ceramah.

"Semasa PKP fasa satu, saya sudah mula program ziarah rumah ke rumah dan memberi bantuan hingga ke bulan Ramadan.

"Ini kerana kebanyakan penduduk di Pulau Banggi dalam kalangan kurang berkemampuan dari sudut ekonomi dan taraf hidup," katanya pernah mengajar di Seri Al Hafidz Tuaran dan Sekolah Agama Rendah Pekan Karakit, Pulau Banggi.

Muhammad Syazwan menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.
Muhammad Syazwan menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.

Katanya, aktiviti bantuan itu sudah mendapat keizinan daripada pihak berkuasa.

Difahamkan, bantuan itu hasil sumbangan daripada orang ramai, individu dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berada di Semenanjung dan Sabah.

Ketika ditanya sama ada akan terus menetap di Pulau Banggi, Muhammad Syazwan berkata, beliau masih ada misi yang belum dilaksanakan dengan harapan mahu melihat masyarakat kembali kepada cara hidup Islam keseluruhannya.

Muhammad Syazwan menghulurkan bantuan kepada seorang penduduk.
Muhammad Syazwan menghulurkan bantuan kepada seorang penduduk.