Individu, NGO buat kerja amal tanpa permit dianggap langgar PKP

Mana-mana pihak yang memohon untuk menjalankan aktiviti amal perlu menunggu sehingga permohonan diluluskan sebelum meneruskan sebarang program. Gambar kecil: Risikin
Mana-mana pihak yang memohon untuk menjalankan aktiviti amal perlu menunggu sehingga permohonan diluluskan sebelum meneruskan sebarang program. Gambar kecil: Risikin
A
A
A

SUBANG JAYA - Individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mendapatkan permit daripada pihak polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melaksanakan kerja amal akan dianggap sebagai melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, pihaknya tidak menentang aktiviti amal dilakukan, namun tidak mahu tindakan yang tidak dirancang sebaiknya menyebabkan penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum ini jelas menyatakan semua individu atau organisasi amal perlu mendapat izin pihak polis dan JKM terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti masing-masing.

“Yang mohon dan dapat kelulusan terutama daripada PDRM kita akan bantu dari segi kawalan, itu juga tertakluk kepada peraturan dan garis panduan yang ketat.

"Ia termasuk tidak ada orang ramai berkumpul dan penjarakan sosial yang mesti diperhatikan.

"Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) juga harus hadir untuk memantau dan melakukan kawalan orang ramai, jika ada,” katanya.

Risikin turut memberitahu, mana-mana pihak yang memohon untuk menjalankan aktiviti amal perlu menunggu sehingga permohonan diluluskan sebelum meneruskan sebarang program.

Ini kerana katanya, sesetengah pihak menganggap aktiviti boleh diteruskan sebaik permohonan sudah dibuat.

Artikel Berkaitan:

“Mereka yang bergerak ke sana sini boleh dijangkiti dan kemudian menyebarkannya kepada orang lain ketika bertemu menyerahkan makanan, bahan makanan dan barang-barang lain,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Risikin turut kesal dengan sikap segelintir peniaga yang masih berdegil dan ‘curi-curi’ menjalankan perniagaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Beliau turut berharap semua pihak dapat mematuhi segala peraturan ditetapkan termasuk tidak terlibat dengan penganjuran bazar Ramadan sepanjang tempoh PKP ini.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan terutamanya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dalam menguatkuasakan peraturan di bawah bidang tugas masing-masing.

“Kena ingat langkah tegas diambil adalah sebahagian daripada usaha negara untuk untuk meratakan lengkung kes Covid-19, dengan itu penting supaya semua pihak mematuhi PKP," katanya.