Apam Johol popular ketika Ramadan

Apam Johol
Apam Johol
A
A
A

KUALA PILAH - Apam Johol merupakan sejenis kuih tradisional yang hanya boleh didapati di Negeri Sembilan, malah namanya juga simbolik dengan sebuah mukim yang terletak di Kuala Pilah iaitu Johol.

Bagaimanapun, seiring dengan perkembangan teknologi, keenakan apam Johol kini boleh dirasai di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

Sempena Ramadan, permintaan terhadap apam Johol yang enak dimakan bersama sambal tumis dan rendang turut meningkat dalam kalangan penggemarnya.

Pengusaha apam Johol yang popular di Putrajaya dan Kampung Air Mawang di Johol, Hamidah Karim, 60, berkata, kuih tradisional masyarakat Negeri Sembilan itu boleh didapati di seluruh negara kerana beliau mempunyai 800 ejen di Malaysia.

Menurutnya, dia pernah menerima tempahan antara 3,000 hingga 4,000 apam Johol yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

“Keistimewaan apam Johol ialah kuih ini dibalut dengan daun rambai yang mengeluarkan aroma harum dan berbeza daripada apam biasa.

“Apam Johol sememangnya popular ketika Ramadan terutama dalam kalangan warga emas,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Hamidah berkata, walaupun kuih tersebut tidak dapat dijual seperti biasa susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi dia masih boleh memasarkannya secara sejuk beku kepada semua ejen di seluruh Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Apam Johol ini turut digemari orang kenamaan di Negeri Sembilan.

“Resipi turun-temurun apam Johol daripada ibu saudara saya adalah ilmu yang paling berharga kerana saya dapat membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya.