Batal saingan Liga-M: KAFA belum buat perancangan

Husin Deraman
Husin Deraman
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) belum membuat sebarang perancangan mengenai pasukan berkenaan hasil pengumuman kerajaan yang tidak membenarkan aksi bola sepak di negara ini berjalan biarpun setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir kelak.

Setiausaha Kehormatnya Husin Deraman berkata, KAFA masih menunggu keputusan rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), berhubung perkara berkenaan.

“Bila liga dibatalkan, automatik kita perlu buat persediaan untuk musim 2021 pula; tetapi masalahnya, kita tak boleh buat apa-apa perancangan lagi sebab FAM/MFL selagi belum buat keputusan.

“Lagi satu, ia akan libatkan kontrak khususnya kontrak kepada pemain dan bagi saya ini adalah perkara yang penting.

“Ini disebabkan kita tak mahu ada pemain yang sampai empat hingga lima bulan tidak ada kerja nanti,” katanya kepada Sukan Sinar.

Husin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kelmarin yang mengatakan sebarang perhimpunan beramai-ramai termasuklah aksi bola sepak tetap tidak dibenarkan sekalipun tempoh PKP ditamatkan.

Tambah Husin, pihaknya juga mungkin boleh mengadakan mutual termination (penamatan bersama) berhubung isu kontrak kepada pemain-pemain skuad The Red Warriors (TRW).

Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan belum dimuktamadkan selagi belum ada sebarang keputusan rasmi daripada FAM mahupun MFL.

Artikel Berkaitan:

“Kita kata mungkin boleh buat mutual termination. Contohnya, ada kelab yang dibatalkan gaji terakhir sampai April, tetapi ditawarkan dua bulan bonus kepada pemain.

“Apa pun, kita belum buat keputusan lagi dan mungkin saya boleh cadangkan jika Covid-19 ini berakhir, mungkin liga boleh bermula awal, supaya pemain ada kerja, tetapi jangan awal sangat, takut menganggu latihan dan sebagainya,” katanya.