'Didera' lari 30 pusingan sewaktu berpuasa

Mohamad (kanan) membantu melatih sebahagian pemain hoki daerah Kerian bagi menghadapi kejohanan peringkat daerah dan negeri.
Mohamad (kanan) membantu melatih sebahagian pemain hoki daerah Kerian bagi menghadapi kejohanan peringkat daerah dan negeri.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas kapten skuad hoki negara, Mohamad Abdul Hadi tidak dapat melupakan pengalaman 'didera' bersama rakan sepasukan sewaktu berlatih sepanjang bulan Ramadan sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik 1992 di Barcelona, Sepanyol.

Lebih melucukan, Mohamad, 53, yang merupakan anak jati Parit Buntar, Perak sentiasa mengingati saat beliau bersama rakan sepasukan seperti Nor Saiful Zaini dan Mirnawan Nawawi 'ditembak' dengan pancuran air daripada pili bomba setiap kali berjaya menghabiskan pusingan larian ditetapkan jurulatih.

Menurutnya, pengalaman menjalani latihan intensif di bawah kendalian jurulatih dari Australia, Terry Walsh pada bulan Ramadan paling menjadi kenangan manis susulan pengendali import itu terkenal dengan corak latihan mencabar fizikal dan mental pemain.

"Seluruh pasukan kami dipanggil menjalani latihan intensif pada bulan Ramadan sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik di Barcelona pada 1992 dan kami hadir tanpa menjangka tahap kesukaran latihan diberikan sangat mencabar.

"Namun, baru beberapa hari memulakan latihan, kami sudah diarahkan untuk melakukan larian mengelilingi satu padang bola sebanyak lebih 30 pusingan bermula jam 3 petang.

"Bayangkan kami kena berlari dalam tempoh waktu ditetapkan di bawah keadaan panas terik dan kehausan. Ada pemain yang hampir pengsan, namun syukur kebanyakan pemain mempunyai ketahanan mental kuat ketika itu," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.

Mohamad (duduk, kiri) bersama isteri dan tiga anak tersayang.
Mohamad (duduk, kiri) bersama isteri dan tiga anak tersayang.

Mohamad yang pernah membantu pasukan hoki kebangsaan memenangi pingat gangsa di Sukan Asia Beijing, China pada 1990 mengakui, beliau dan rakan sepasukan pada mulanya marah dengan arahan latihan intensif diberikan Walsh.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kemarahan itu dibangkitkan lagi dengan tindakan bekas Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz, yang ketika itu bertugas sebagai pegawai perubatan pasukan, seolah-olah sengaja memancutkan air daripada pili bomba ke arah pemain yang berjaya menghabiskan larian ditetapkan.

"Bagaimanapun, Walsh akhirnya menjelaskan tujuan kami 'didera' adalah bagi menguatkan lagi tahap ketahanan mental bagi menghadapi cabaran getir di Sukan Olimpik.

"Berkat latihan intensif itu, pasukan hoki kebangsaan berjaya meraih tempat keenam di temasya sukan terbesar dunia itu sekali gus merupakan pencapaian terbaik negara hingga setakat ini," katanya.

Di sebalik kenangan bulan Ramadan tidak dapat dilupakan itu, Mohamad sentiasa mengharapkan sukan hoki negara terus berkembang maju pada masa hadapan, sekali gus mencapai objektif meraih emas pertama negara dalam Sukan Olimpik.

Menurutnya, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada bulan Ramadan ketika ini tidak seharusnya menjadi alasan pemain pasukan hoki kebangsaan sedia ada untuk tidak menjaga kecergasan fizikal dan mental.

"Sewaktu zaman kami sekitar tahun 1980-an, setiap pemain kebangsaan sentiasa menitikberatkan aspek kecergasan fizikal dengan latihan kecergasan dilaksanakan secara konsisten setiap hari pada bulan Ramadan meskipun berdepan kekangan peralatan bersenam.

"Bagi saya, tempoh PKP dilalui setiap pemain ketika ini bukan alasan untuk mereka tidak bersenam dan menjaga kecergasan fizikal kerana terdapat pelbagai peralatan yang boleh digunakan di rumah," katanya.