PKP: Serah kepada PDRM tangani isu gengsterisme PATI

Ismail Sabri semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri semasa sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani isu berkaitan gengsterisme dalam kalangan pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga menimbulkan keresahan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jenayah tersebut bukan sahaja melibatkan PATI tetapi turut membabitkan rakyat negara ini.

“Isu gengsterisme ini bukan hanya berlaku ketika PKP sahaja tetapi sentiasa berlaku. Isu ini kita serahkan kepada PDRM kerana di bawah bidang kuasa mereka,” katanya pada sidang akhbar (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berhubung kegusaran rakyat mengenai gengsterisme dalam kalangan PATI.

Ditanya adakah Malaysia akan mengubah dasar mengambil pekerja asing selepas ini berdasarkan kepada situasi jangkitan Covid-19 dalam kalangan mereka di Singapura, Ismail Sabri berkata, perkara tersebut melibatkan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia.

“Kita serahkan kepada dua kementerian ini dan jika ada perubahan polisi, akan dibincangkan dalam Kabinet.

“Ia merupakan dasar besar negara. Negara memerlukan pekerja asing kerana rakyat kita tidak mampu menampung kekurangan pekerja melibatkan warga asing,” katanya.

Artikel Berkaitan: