Industri cemar alam sekitar perlu ditutup

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Industri yang mencemarkan alam sekitar sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan diarahkan menutup operasi.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kementeriannya melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus mempergiatkan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya semasa tempoh PKP.

Beliau berkata, industri yang tidak mematuhi AKAS juga akan dilaporkan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk tindakan lanjut termasuk penutupan operasi.

"JAS akan memantau berdasarkan tiga gerak kerja khusus membabitkan aspek pencegahan, siasatan ke atas aduan dan amaran dari sistem Program Pengawasan Kualiti Alam Sekeliling (EQMP)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, penguat kuasa JAS akan membuat rondaan dan pemeriksaan mengejut terutama membabitkan premis di kawasan yang berisiko pencemaran, lokasi di hulu takat pengambilan air dan kawasan mudah terbakar.

"Pelaksanaan smart enforcement melalui penguatkuasaan menggunakan sistem dalam talian dan dron bagi mengesan pencemaran,"katanya.

Tuan Ibrahim berkata, dianggarkan 1,337 premis pembuatan atau pengilangan dibenarkan beroperasi dan 13 peratus daripada jumlah itu terletak di hulu takat pengambilan air.

Beliau turut mengingatkan industri yang didapati menyalahi undang-undang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel Berkaitan:

"Pelupusan buangan terjadual secara haram juga boleh dikenakan tindakan penjara mandatori serta denda maksimum sebanyak RM500,000.

Sejak PKP bermula sehingga 24 April lalu, JAS telah mengambil 158 tindakan penguatkuasaan ke atas premis yang menyalahi undang-undang termasuk menahan dan menggantung lesen lima buah premis.

Orang ramai yang ingin mengemukakan aduan berkaitan pencemaran boleh menghubungi Bilik Kawalan Operasi JAS di talian 03-88891972 atau talian hotline bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi setiap hari selama 24 jam.

Aduan juga boleh disalurkan secara atas talian melalui sistem e-aduan yang boleh diakses melalui capaian https://eaduan.doe.gov.my dan juga boleh disalurkan melalui emel kepada aduan_k@doe.gov.my.