Pemandu teksi kantoi bawa rokok, curut seludup

Mohd Khaizam menunjukkan rokok dan curut yang dirampas daripada pemandu teksi.
Mohd Khaizam menunjukkan rokok dan curut yang dirampas daripada pemandu teksi.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Polis menahan seorang pemandu teksi yang membawa 10,000 batang rokok tembakau dan 2,500 curut dipercayai diseludup dari Myanmar.

Warga emas lelaki berusia 73 tahun itu ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan ketika sekatan jalan raya di Jalan Jaya Setia, Sungai Siput kira-kira jam 1.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintenden Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, suspek yang tinggal di Ipoh itu memberi alasan untuk menghantar makanan kepada pelanggannya.

“Anggota bertugas yang curiga dengan alasan itu membuat pemeriksaan lanjut dan mendapati warga emas itu menyimpan 200 kotak yang mengandungi 10,000 batang rokok dalam but kenderaan yang dipandunya.

“Turut ditemui bungkusan plastik yang mengandungi 50 peket cerut dan 20 peket daun tembakau tiada jenama dengan lambang kepala singa,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput di sini hari ini.

200 kotak rokok yang mengandungi 10,000 batang rokok dirampas daripada seorang warga emas.
200 kotak rokok yang mengandungi 10,000 batang rokok dirampas daripada seorang warga emas.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua rampasan tersebut tidak mempunyai label percukaian dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

“Kita mengesyaki kesemua rampasan ini untuk kegunaan warga asing yang berada sekitar daerah ini.

Artikel Berkaitan:

“Siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti bekalan dan permintaan rokok dan curut seludup itu. Anggaran nilai barangan rampasan sedang disiasat,” katanya.

Mohd Khaizam berkata, suspek direman selama tiga hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana memiliki hasil tembakau tidak bercukai.

”Suspek turut melanggar Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

“Mereka yang melakukan khidmat penghantar makanan dinasihatkan tidak mengambil kesempatan dengan membawa barangan yang menyalahi undang-undang,” katanya.