Lelaki disangka lemas ditemui selamat di masjid

KAJANG - Misteri kehilangan seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus Sungai Raya, Kampung Sungai Raya, Batu 9 di sini akhirnya terungkai apabila mangsa ditemukan dalam keadaan selamat di Masjid Batu 10 pada Jumaat.
Anuar Abdul Ghani, 50, sebelum ini dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus sungai, sekali gus mencetuskan operasi mencari dan menyelamat (SAR) oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama agensi lain.

Bagaimanapun, mangsa difahamkan berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa mangsa berjaya ditemukan pada jam 2.15 petang.
Menurutnya, mangsa ditemui ketika berada di Masjid Batu 10 selepas selesai menunaikan solat Jumaat.
"Selepas ditemui, mangsa memaklumkan bahawa individu yang dicari dalam operasi SAR itu sebenarnya dirinya.
"Mangsa juga memaklumkan bahawa dia berjaya berenang ke tebing sungai dan berada dalam keadaan selamat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Media pada Khamis melaporkan pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.32 petang selepas orang awam memaklumkan seorang lelaki dipercayai hanyut dibawa arus sungai.
Operasi pencarian pada hari pertama melibatkan pencarian di sepanjang tebing Sungai Raya sejauh kira-kira lima kilometer serta kawasan perangkap sampah di Batu 10, Cheras.
Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada tengah malam berikutan hujan renyai dan keadaan arus sungai yang deras.
Operasi disambung semula pada jam 9 pagi Jumaat membabitkan dua pasukan SAR yang melakukan pencarian menggunakan teknik Surface Searching di sepanjang sungai.
Seramai 20 anggota daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam operasi berkenaan.
Sementara itu, Ashrul Riezal berkata, maklumat penemuan mangsa telah dimaklumkan kepada pihak polis sebelum operasi SAR ditamatkan pada jam 3 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

