Perlukah duit rakyat bail-out AirAsia?

AirAsia Group Berhad mencatat kerugian bersih RM381.3 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM830.5 juta pada suku sebelumnya
AirAsia Group Berhad mencatat kerugian bersih RM381.3 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM830.5 juta pada suku sebelumnya
A
A
A

BAYANGKAN anda di Sibu dan perlu ke Kuala Lumpur untuk menghadiri temu janji hospital. Jika AirAsia mengurangkan kekerapan penerbangan, bolehkah anda mendapatkan tempat duduk pada hari yang diperlukan?

Jika ada, mampukah anda membayar tambangnya? Soalan itu penting di Sibu kerana pada 2025, hampir lapan daripada 10 penumpang di lapangan terbang itu menggunakan AirAsia.

Jumlahnya mencecah 79 peratus, berbanding 77 peratus di Bintulu dan 75 peratus di Sandakan, menurut jawapan bertulis Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Oktober.

Secara keseluruhan, AirAsia membawa 62 peratus penumpang di Sabah dan 70 peratus di Sarawak pada tahun lalu, tidak termasuk lapangan terbang berlandasan pendek.

Jika kekerapan dikurangkan, penerbangan yang masih ada mungkin cepat penuh, terutama menjelang cuti sekolah dan musim perayaan. Penumpang yang tiada kelonggaran memilih tarikh mungkin terpaksa membayar tambang lebih tinggi atau mengambil penerbangan yang memerlukan persinggahan.

Bagi pelajar yang mahu pulang, tambahan kos itu boleh menentukan sama ada mereka mampu membeli tiket. Bagi pesakit yang perlu mendapatkan rawatan, jadual penerbangan pula menentukan sama ada mereka boleh tiba tepat pada waktunya.

Sebab itu, ukuran yang penting bagi penumpang ialah berapa banyak tempat duduk boleh ditambah pada laluan yang terjejas, pada waktu yang diperlukan dan pada tambang yang masih mampu dibayar.

Kerugian mengecil, tekanan kewangan masih ada

AirAsia Group Berhad mencatat kerugian bersih RM381.3 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM830.5 juta pada suku sebelumnya. Kumpulan itu berkata operasi jarak dekatnya di Malaysia dan Kemboja kekal mencatat keuntungan.

Artikel Berkaitan:

Namun, kerugian bersih kumpulan bagi sembilan bulan pertama tahun ini masih berjumlah RM1.34 bilion. Kedudukan kewangan AirAsia masih merisaukan. Walaupun kerugian mengecil, keputusan suku ketiga belum cukup meyakinkan untuk menunjukkan kumpulan itu berada di landasan pemulihan yang kukuh.

Pada 30 September, liabiliti semasa kumpulan berjumlah RM19.24 bilion. Jumlah itu merangkumi beberapa jenis tanggungan, termasuk bayaran kepada pembekal dan liabiliti pajakan. Dalam sembilan bulan pertama, pembayaran balik liabiliti pajakan sahaja mencecah RM1.73 bilion.

Pada September, AirAsia berkata ia merancang mendapatkan sehingga US$1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa serta kemudahan kredit tempatan RM700 juta, terutama untuk menyusun semula dan membiayai semula hutangnya.

Pembiayaan semula boleh memberi kumpulan lebih ruang untuk mengurus bayaran. Bagi penumpang, persoalannya ialah sama ada ruang itu membantu AirAsia mengekalkan kekerapan penerbangan pada laluan yang sangat bergantung padanya.

Reuters melaporkan pada September bahawa kerajaan telah bertanya kepada Malaysia Airlines dan Batik Air sama ada mereka mampu menampung sebahagian daripada pasaran domestik AirAsia sebagai persediaan menghadapi kemungkinan gangguan.

Pada Oktober, Kementerian Kewangan memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa kerajaan belum membuat sebarang komitmen untuk memberi jaminan, pinjaman atau suntikan dana awam kepada AirAsia.

Jangan heret rakyat nak bail-out

Siapa boleh menambah tempat duduk? AirBorneo juga wajar dipertimbangkan. Syarikat penerbangan milik Sarawak itu mengendalikan Perkhidmatan Udara Luar Bandar di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Pengalaman itu relevan, tetapi keupayaannya menambah penerbangan komersial bergantung pada pesawat yang tersedia dan jumlah tempat duduk yang boleh disediakan bagi setiap laluan.

Sebuah syarikat mungkin mampu menambah satu penerbangan ketika hujung minggu. Menyediakan penerbangan setiap hari selama beberapa minggu memerlukan pesawat dan kru yang boleh diperuntukkan secara berterusan.

Keupayaan itu perlu dinilai satu laluan pada satu masa. kementerian Pengangkutan boleh bermula dengan Sibu, Bintulu dan Sandakan. Kenal pasti syarikat yang boleh menambah penerbangan, jumlah tempat duduk yang mampu disediakan dalam minggu pertama dan berapa lama jadual tambahan itu boleh dikekalkan.

Bagi penumpang di Sabah dan Sarawak, pelan yang meyakinkan perlu menjawab tiga perkara mudah: Bila mereka boleh terbang, berapa tambangnya dan adakah masih ada tempat duduk?

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!