Nadma bentang kemajuan projek pengurusan bencana ASEAN-China RM19.7 juta

Ahmad Zahid hadir pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China mengenai Pengurusan Bencana keenam.
Ahmad Zahid hadir pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China mengenai Pengurusan Bencana keenam.
A
A
A

TANGERANG, INDONESIA - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) membentangkan kemajuan projek kerjasama pengurusan bencana ASEAN-China kira-kira RM19.7 juta pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China mengenai Pengurusan Bencana keenam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Malaysia melalui Nadma diberi kepercayaan oleh China dan negara-negara ASEAN sebagai negara penyelaras bagi projek berkenaan.

“Projek yang sedang dilaksanakan hingga Oktober 2028 itu merangkumi latihan petugas, sokongan teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan sistem penyelarasan dan arahan operasi kecemasan.

“Sistem itu turut merangkumi aplikasi mudah alih untuk membantu pasukan di lapangan menyelaras operasi ketika bencana,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Ahmad Zahid (tiga dari kanan) pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China mengenai Pengurusan Bencana keenam.
Ahmad Zahid (tiga dari kanan) pada Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN-China mengenai Pengurusan Bencana keenam.

Ahmad Zahid berkata, dalam mesyuarat tersebut, beliau menekankan kepentingan latihan mencari dan menyelamat serta simulasi bersama di bawah Pelan Kerja ASEAN-China 2026-2030.

Menurutnya, apabila bantuan perlu digerakkan merentas sempadan, pasukan dari negara berbeza mesti sudah terlatih untuk beroperasi bersama dan jelas tentang peranan masing-masing.

Kata beliau, ASEAN turut melancarkan tiga Pelan Kerja Pengurusan Bencana 2026-2030 bersama China, Jepun dan Republik Korea.

Artikel Berkaitan:

“Dalam sesi bersama Jepun, delegasi Malaysia memberi tumpuan kepada latihan kesiapsiagaan komuniti dan pembangunan kepimpinan tempatan.

“Dalam sesi bersama Republik Korea pula, Malaysia menggariskan keutamaan untuk memperkukuh sistem amaran awal dan memperluas penyampaian maklumat bencana secara digital kepada penduduk di kawasan berisiko,” ujarnya.

Ahmad Zahid memaklumkan, berpandukan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030, Malaysia sedang membangunkan strategi di peringkat negeri agar persediaan menghadapi bencana disesuaikan dengan risiko setempat dan keperluan golongan rentan.

Di peringkat serantau, katanya, Malaysia menyeru agar AHA Centre diperkukuh melalui sokongan institusi dan pembiayaan yang mampan.

"Kerjasama di bawah One ASEAN, One Response juga perlu merangkumi pencegahan, kesiapsiagaan dan tindakan awal agar negara anggota dapat menyelaras bantuan sebaik sahaja amaran dikeluarkan.

"Dalam pertemuan dua hala bersama Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Republik Korea (MOIS), Park Cheon-soo, saya mencadangkan supaya Nadma dan MOIS mula mengenal pasti peluang untuk latihan bersama dan pertukaran kepakaran.

Ahmad Zahid memberitahu, Malaysia turut meneroka peluang untuk menempatkan pegawai pengurusan bencana negara di Republik Korea bagi menjalani latihan di bawah Program PRESTIJ Pengurusan Bencana.

Beliau menjelaskan, melalui latihan tersebut, pegawai Malaysia berpeluang mempelajari cara sistem amaran awal dan teknologi kecemasan digunakan di lapangan serta membawa pulang amalan yang sesuai untuk diterapkan dalam operasi di Malaysia.

"Alhamdulillah, dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Ke-14, Malaysia menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan negara anggota ASEAN dan Rakan Dialog.

"Ia bagi memastikan Program Kerja Perjanjian ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana dan Tindak Balas Kecemasan (AADMER) 2026-2030 diterjemahkan kepada tindakan nyata yang melindungi nyawa, mata pencarian dan hasil pembangunan yang telah dicapai," kata beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!