Dua lelaki diberkas terbabit kes samun berkumpulan

Polis menemui semula barang milik mangsa samun yang dibuang oleh suspek di Desa Ria, Petaling Jaya.
Polis menemui semula barang milik mangsa samun yang dibuang oleh suspek di Desa Ria, Petaling Jaya.
A
A
A

PETALING JAYA - Dua sahabat yang dipercayai terlibat dalam kes samun berkumpulan diberkas polis dalam serbuan berasingan di Desa Mentari di sini tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek pertama berusia 25 tahun ditahan di sebuah rumah kira-kira jam 12.30 tengah malam berserta rampasan sebuah kereta jenis Proton Preve disyaki digunakan semasa melakukan jenayah samun.

Menurutnya, susulan itu, hasil soal siasat dan dengan dipandu arah oleh suspek telah membawa penahanan seorang lagi suspek berusia 17 tahun kira-kira jam 3.30 pagi.

"Semasa tangkapan dibuat, suspek ini cuba melarikan diri dan bertindak agresif.

"Suspek yang berjaya ditahan ini kemudian telah menunjukkan kepada polis lokasi di Desa Ria, Petaling Jaya iaitu tempat mereka membuang barang milik mangsa yang disamun.

"Antara barang yang ditemui adalah dua keping kad ATM, beg tangan dan dompet," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek kedua memiliki dua rekod jenayah atas kesalahan samun berkumpulan serta mencederakan orang.

Katanya, kes masih disiasat untuk mengenal pasti sama ada suspek terlibat dalam jenayah lain khususnya di daerah Petaling Jaya. Kedua-dua suspek kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, selain itu polis kini masih memburu dua lagi lelaki dikenali sebagai Sashi dan Thanesh bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662176 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Noor Syazana Zainal di talian 011-41931843," katanya.