JKM Pahang terima 7,139 aduan terputus bekalan makanan

JKM sentiasa memastikan aduan mengenai putus bekalan akan diselesaikan segera menerusi kerjasama pelbagai pihak bagi tujuan agihan bekalan di 12 bilik gerakan di seluruh Pahang.
JKM sentiasa memastikan aduan mengenai putus bekalan akan diselesaikan segera menerusi kerjasama pelbagai pihak bagi tujuan agihan bekalan di 12 bilik gerakan di seluruh Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menerima sebanyak 7,400 panggilan aduan daripada masyarakat di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu.

Pengarahnya, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, antara aduan yang diterima adalah aduan terputus bekalan makanan, talian kasih dan sebagainya.

Menurutnya, bagaimanapun aduan membabitkan terputus bekalan makanan adalah paling tinggi iaitu sebanyak 7,139 aduan.

"Aduan ini (terputus bekalan) telah diterima oleh 12 bilik gerakan di Pusat Kebajikan Masyarakat Daerah di seluruh negeri ini dan satu bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri.

“Tapi setakat ini aduan semakin berkurangan berbanding pada awal pelaksanaan PKP dahulu dan ini mungkin disebabkan orang ramai sudah menerima bantuan makanan daripada pelbagai pihak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, bagi aduan talian Kasih pula, pihaknya merekodkan peningkatan yang mendadak iaitu 165 aduan dalam tempoh sebulan PKP berbanding sebelum ini sekitar 50 hingga 60 aduan.

Jelasnya, pihak JKM Pahang sedang berusaha untuk menyelesaikan semua aduan yang diterima pihaknya secepat mungkin.

“Daripada kesemua aduan yang diterima ini, pihak kami telah berjaya menyelesaikan 71 peratus kes yang diterima dan dalam proses menyelesaikan bakinya iaitu 29 peratus lagi secepat mungkin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Zulkhairi berkata, pihaknya kini menjalinkan kolaborasi strategik dengan Skuad Bencana Pahang bagi membantu melancarkan lagi agihan bantuan keperluan harian kepada golongan memerlukan seluruh negeri ini.

Menurutnya, kolaboratif berkenaan juga amat penting dalam usaha menguruskan bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak seperti kerajaan negeri, swasta dan individu yang prihatin.

Katanya, lebih 20 penghantaran telah dilakukan oleh JKM dan SBP di merata tempat, di beberapa daerah bagi menyalurkan bantuan kepada mereka terjejas.

"Walaupun hanya menumpukan kepada bantuan keperluan harian seperti beras, minyak masak, gula, biskut, tepung, kopi dan mi, dalam kes tertentu lampin pakai buang kanak-kanak dan dewasa serta susu bayi turut disediakan bagi meringankan beban permohonan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya berharap mereka yang berhadapan masalah bekalan makanan boleh menghubungi Bilik Gerakan JKM di talian 09 5650226 atau talian kasih yang kini beroperasi 24 jam," katanya.