Tetak adik dengan parang sebelum berbuka

Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan kini dirawat di Hospital Teluk Intan. - Foto IPD Perak Tengah
Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan kini dirawat di Hospital Teluk Intan. - Foto IPD Perak Tengah
A
A
A

TELUK INTAN - Seorang lelaki cedera ditetak dengan parang panjang oleh abang kandungnya sebelum berbuka puasa di sebuah rumah di Kampung Kota Setia di sini semalam.

Kejadian yang berlaku jam 7 petang itu menyebabkan mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berpunca daripada pertengkaran mulut di antara mereka selepas suspek bertindak memarahi ibunya sehingga menangis.

Menurutnya, berang dengan keadaan itu, suspek yang berusia 42 tahun bertindak menetak mangsa menggunakan parang panjang sebanyak lima kali menyebabkan kecederaan di bahagian jari tangan kiri, lengan kiri, kaki kiri dan belakang badan.

"Mangsa telah dibawa Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan selain turut menjalani pembedahan kecil di bahagian jari tangan kiri.

"Selepas kejadian itu, suspek kemudiannya telah melarikan diri dan usaha mengesan individu tersebut sedang dijalankan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Barudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 326 dan 326A Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata.

Artikel Berkaitan: