Malaysia sasar kekalkan status sifar malaria

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia menyasarkan untuk mengekalkan status sifar malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) untuk tahun ketiga berturut-turut bagi membolehkan negara menerima Pensijilan Eliminasi Malaria daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun hadapan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, status berkenaan berjaya dikekalkan sejak 2018 dan terkini setakat tempoh Januari hingga 18 April lalu belum ada kes tersebut direkodkan.

Menurutnya, walaupun negara ketika ini berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan wabak koronavirus (Covid-19), Kementerian Kesihatan Malaysian (KKM) tetap mengambil langkah yang perlu bagi memastikan aktiviti kawalan dan pencegahan malaria tidak terjejas.

"Inovasi pencegahan malaria dalam tempoh PKP diwujudkan melalui modifikasi tindakan kritikal di lapangan dengan tujuan pencegahan jangkitan malaria di komuniti dan pada masa yang sama bagi memastikan anggota kesihatan sentiasa terlindung daripada jangkitan Covid-19.

"KKM mengutamakan semua kes dan wabak untuk diambil tindakan segera. Modifikasi kaedah kawalan vektor (nyamuk pembawa malaria) juga dilaksanakan dengan mengedarkan kelambu berubat dari rumah ke rumah bagi mengelakkan perhimpunan di dalam komuniti dan mengekalkan penjarakan sosial.

"Di samping itu, KKM juga memastikan bekalan peralatan untuk diagnosa dan ubat-ubatan malaria tidak terjejas. Saringan malaria di kalangan kumpulan berisiko juga masih diteruskan," katanya dalam satu kenyataan hari ini sempena Hari Malaria Sedunia disambut setiap tahun pada 25 April di seluruh dunia.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, bertepatan dengan tema 'Sifar malaria bermula dari kita' yang ditetapkan WHO tahun ini, KKM berharap penglibatan komuniti dan agensi lain dalam pencegahan penyakit malaria dapat dipertingkatkan.

"Walaupun Malaysia telah mencapai sifar malaria manusia jangkitan tempatan (indigenous) sejak 2018, namun malaria zoonotik yang berpunca dari monyet dan kes malaria import dari negara luar masih dilaporkan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahun 2019, sebanyak 3,941 kes malaria daripada pelbagai punca telah dilaporkan dan daripada jumlah tersebut, 3,223 kes adalah malaria zoonotik, 620 kes import dan 98 kes adalah daripada lain-lain punca jangkitan," katanya.

Katanya, pada tahun yang sama, sebanyak enam kematian dilaporkan di mana kesemuanya melibatkan jangkitan kes malaria zoonotik daripada spesis Plasmodium Knowlesi.