Ketua daerah didakwa beri ‘upah’ RM670 selepas perkosa mahasiswi

Polis Nusa Tenggara Timur (NTT) telah menyediakan surat panggilan untuk mengambil keterangan Yosef (gambar kecil) berhubung dakwaan merogol itu pada Rabu. Foto Agensi
Polis Nusa Tenggara Timur (NTT) telah menyediakan surat panggilan untuk mengambil keterangan Yosef (gambar kecil) berhubung dakwaan merogol itu pada Rabu. Foto Agensi
A
A
A

KUPANG - Bupati (Ketua Daerah) Kupang, Yosef Lede didakwa memberikan wang tunai tiga juta rupiah (RM670) kepada seorang mahasiswi berusia 21 tahun selepas wanita itu mendakwa menjadi mangsa pemerkosaan di kediaman rasmi beliau di Kota Kupang, Nusa Tenggara Timur (NTT), Indonesia.

Menurut laporan polis, kejadian berlaku pada 11 November lalu selepas mangsa dibawa ke kediaman tersebut oleh kenalannya dikenali sebagai EK dan LS yang menjanjikannya peluang pekerjaan.

Wanita itu mendakwa Yosef meminta kedua-dua individu itu keluar dari bilik sebelum melakukan serangan seksual terhadapnya. Siasatan awal polis mendapati mangsa dinodai sebanyak dua kali pada malam sama.

Selepas melampiaskan nafsunya, Yosef didakwa memasukkan wang tunai tersebut ke dalam beg mangsa sebelum memintanya meninggalkan kediaman berkenaan. Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada keesokan harinya.

Pihak penyiasat kini mengumpulkan keterangan dan bahan bukti bagi menyiasat keseluruhan kejadian termasuk dakwaan pemberian wang kepada mangsa selepas serangan seksual itu.

Polis turut merampas sehelai seluar milik mangsa ketika menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Setakat ini, seramai enam individu termasuk mangsa dan ibu bapanya telah dipanggil untuk memberikan keterangan. Bagaimanapun, Yosef belum ditetapkan sebagai suspek.

Kes berkenaan turut mendapat perhatian Komisi Nasional Antikekerasan terhadap Wanita yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan memastikan keselamatan serta pemulihan mangsa.

Badan itu turut meminta dakwaan berkaitan tawaran pekerjaan yang membawa mangsa ke kediaman rasmi tersebut disiasat termasuk kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa.

Artikel Berkaitan:

Yosef memegang jawatan Bupati Kupang bagi penggal 2025 hingga 2030 selepas dilantik pada Februari 2025.

Ketika kes itu menjadi perhatian umum, Yosef menyatakan kesediaannya untuk memberikan keterangan kepada pihak berkuasa sekiranya dipanggil, selain berharap siasatan dijalankan secara bebas dan profesional. - Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!