Sumbang buku untuk pusat kuarantin Covid-19 Wilayah Persekutuan

Tuan Kamarul Arief menyerahkan sumbangan bahan bacaan, buku dan majalah kepada Nazari Yusra di ibu pejabat Yadim hari ini.
Tuan Kamarul Arief menyerahkan sumbangan bahan bacaan, buku dan majalah kepada Nazari Yusra di ibu pejabat Yadim hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) hari ini menyumbangkan hampir 3,000 buah buku, majalah dan lain-lain bahan bacaan untuk keperluan pusat-pusat kuarantin koronavirus (Covid-19) di sekitar Kuala Lumpur.

Majlis ringkas penyerahan tersebut yang dilakukan di ibu pejabat Yadim di sini, dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, yang menyerahkan bahan bahan bacaan tersebut kepada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat, Jabatan Kemajuan Masyarakat, Nazari Yusra Mohamad@Yusof.

Menurut Tuan Kamarul Arief, sumbangan bahan bacaan tersebut merupakan satu inisiatif untuk membantu pusat kuarantin seluruh Wilayah Persekutuan apabila berlaku bencana seperti sekarang.

“Kita dapati trend keperluan kepada pengisian dalam bentuk ilmiah semakin meningkat. Dari sudut fizikal, makanan yang dibekalkan kerajaan cukup terjaga, tapi apa yang perlu sekarang ialah pengisian masa ketika kuarantin, jadi di sini bahan bahan bacaan ini memainkan peranan.

“Yadim sememangnya ada penerbitan sendiri dan yang sumbangan hari ini bernilai lebih RM6,000. Ikim pula menyumbang lebih 1,000 naskhah bahan bacaan,” katanya.

Tuan Kamarul Arief
Tuan Kamarul Arief

Sementara itu, Nazari Yusra berkata, terdapat lebih 20 pusat kuarantin Covid-19 ketika ini di seluruh Wilayah Persekutuan yang dikendalikan oleh pegawai yang bertanggungjawab.

“Pegawai bertanggungjawab inilah yang menentukan jumlah keperluan dan bagaimana bahan-bahan bacaan ini diagihkan di semua pusat kuarantin Covid-19,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Yadim sebelum ini menerusi Program Musa’adah Covid-19 telah menyumbangkan sejumlah 110 naskhah buku dan 29 majalah bernilai RM1,000 untuk kegunaan pelajar tahfiz Masjid Sri Petaling yang dikuarantin di Institut Sosial Malaysia, Sungai Besi.

Usaha oleh Yadim dan Ikim ini selaras dengan hasrat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Zulkiflki Mohamad Al Bakri yang mahu semua agensi di bawah beliau menyantuni pihak terkesan dengan Covid-19.