FAM 'cari jalan' sambung Liga-M

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan pandangan dan kelulusan menggunakan prosedur operasi standard (SOP) yang akan dipatuhi bagi membolehkan saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2020 kembali disambung.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, permohonan itu dikemukakan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selepas Presiden FAM yang juga Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan mengadakan mesyuarat khas dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Putrajaya semalam.

"FAM dan MFL sudah tentu mengutamakan aspek kesihatan negara mendahului bola sepak, namun sebagai badan induk bola sepak di Malaysia, kami perlu berusaha untuk mencari jalan supaya bola sepak dapat diteruskan dan sebab itulah kami mahu mendapatkan nasihat pakar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau berkata, FAM sedia menerima dan akan mematuhi segala arahan yang diberikan kelak walaupun ia mungkin membawa kepada pembatalan semua aktiviti bola sepak.

FAM dan MFL menangguhkan semua aktiviti bola sepak di bawah kelolaan mereka sejak 16 Mac lalu susulan penularan Covid-19, selain mematuhi penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memutuskan rantaian wabak itu.

Dalam pada itu, Stuart berkata, Sekretariat FAM sedang meneliti dan menganalisis semua laporan perbincangan antara pasukan atau kelab dengan pemain dan pegawai, serta laporan status kewangan pasukan atau kelab masing-masing.

Menurut Stuart, badan induk itu turut berhubung dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi mendapatkan pandangan serta maklum balas daripada mereka sebelum membuat satu keputusan selanjutnya.

"FAM akan memaklumkan dalam masa terdekat berhubung status kedua-dua perkara di atas iaitu berkaitan gaji pemain dan pegawai serta kalendar bola sepak Liga Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan: