PN, sekutu perlu bersedia sebagai kerajaan menanti – Mukhriz

A
A
A

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) perlu membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dengan meletakkan diri sebagai kerajaan menanti (government in waiting) yang bersedia mengambil alih pentadbiran negara.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, persiapan itu penting bagi menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen lebih awal daripada jangkaan.

Menurut beliau, PN dan sekutunya perlu menawarkan formula yang diyakini rakyat bagi memperoleh mandat untuk membentuk kerajaan di negeri-negeri yang belum mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serta di peringkat Persekutuan menerusi PRU16.

“Saya menganggap PN dan sekutunya sebagai kerajaan menanti. Jadi, jika itu yang berada dalam fikiran kita, persiapan perlu dilakukan untuk meyakinkan rakyat supaya kita tidak menjadi kerajaan sepenggal sahaja seperti yang kita lihat berlaku kepada PH.

“Bagaimana kita hendak membina keyakinan rakyat supaya mandat itu diberikan berulang kali dan bukan hanya sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Agung Tahunan (PAT) Pejuang 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Mukhriz turut melahirkan rasa teruja dengan kehadiran pengasas Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad pada persidangan berkenaan.

Menurutnya, kehadiran bekas Perdana Menteri itu amat bermakna memandangkan tahap kesihatan beliau yang agak terbatas untuk menghadiri majlis berskala besar.

“Saya teruja dengan kehadiran beliau kerana saya tahu keadaan kesihatannya tidak memudahkan untuk menghadiri majlis seperti ini.

Artikel Berkaitan:

“Sejak September lalu, saya fikir ini merupakan majlis besar pertama yang beliau hadiri. Walaupun beliau mahu hadir, beliau juga memahami kekangan kesihatan yang dihadapinya,” katanya.

Mukhriz berkata, Dr Mahathir masih aktif menyediakan teks ucapan, namun memerlukan bantuan pihak lain untuk menyampaikan amanatnya.

Menurut beliau, amanat tersebut dibacakan wakil yang ditugaskan kerana keadaan suaranya tidak mengizinkan untuk berucap secara langsung.

Katanya, kandungan amanat yang disampaikan itu turut mencerminkan sokongan berterusan Dr Mahathir terhadap perjuangan parti berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!