Amanah perlu bangkit, perkukuh kekuatan hadapi PRU16 - Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly
Dr Dzulkefly
A
A
A

SEREMBAN - Parti Amanah Negara (Amanah) perlu menjadikan kekalahan dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) sebagai titik kebangkitan untuk memperkukuh parti dan mempersiapkan jentera menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), kata Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Dr Dzulkefly berkata, seluruh kepimpinan dan jentera parti, khususnya golongan muda dan wanita perlu melakukan muhasabah, memperkukuh organisasi dan merangka strategi lebih berkesan bagi mendekati rakyat.

Beliau berkata, kekalahan dalam PRN lepas seharusnya menjadi iktibar dan pemangkin untuk membina kekuatan baharu, bukannya melemahkan semangat atau keyakinan terhadap perjuangan parti.

"Mungkin kita kalah dalam beberapa pertempuran, tapi pastikan kita membuat persiapan lebih rapi mendekati rakyat khususnya...we have lost the battle, but we want to win the war, dalam peperangan PRU-16 nanti akan kita lakukan yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita Muda Parti Amanah Negara (Warda) Nasional di sini pada Ahad.

Dr Dzulkefly berkata, perjuangan Amanah juga tidak seharusnya tertumpu semata-mata kepada kemenangan pilihan raya, sebaliknya kemenangan politik perlu dijadikan wasilah untuk membina sebuah negara bangsa yang utuh, kukuh dan bermaruah berteraskan nilai karamah insaniah.

Dalam ucapannya, beliau berkata, matlamat perjuangan parti itu adalah untuk memartabatkan setiap insan tanpa mengira bangsa, agama, keturunan mahupun kedudukan sosial, selain meraikan kepelbagaian dalam masyarakat.

"Kemenangan itu bukan segala-galanya, ia merupakan the means to an end (wasilah kepada matlamat). Ia merupakan satu wasilah kepada satu matlamat yang lebih unggul dan lebih mulia. Kita mahu pacu sebuah negara bangsa yang utuh, kukuh dan bermaruah serta meraikan kepelbagaian,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly menyifatkan prestasi ekonomi negara di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai membanggakan berbanding beberapa dekad sebelumnya, berdasarkan pertumbuhan ekonomi positif, peningkatan kemasukan pelaburan asing, kadar inflasi dan pengangguran yang rendah serta pengukuhan nilai ringgit.

Beliau berkata, pencapaian berkenaan perlu dimanfaatkan Amanah untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan, selain memastikan dasar dan kejayaan pentadbiran diterjemahkan menerusi pendekatan politik yang dekat dengan denyut nadi rakyat.

Artikel Berkaitan:

Mengenai PRU16, Dr Dzulkefly berpandangan tiada keperluan untuk pilihan raya umum itu diadakan dalam masa terdekat, sebaliknya perlu dilaksanakan mengikut tempoh penggal Parlimen.

Beliau berkata, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa membubarkan Parlimen memandangkan tumpuan ketika ini adalah untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi, selain memperkukuh kedudukan kewangan negara dan sektor perindustrian. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!