Politik Melayu di persimpangan kritikal - Tun M

Tun Dr Mahathir (tiga dari kanan) hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) 2026 di IDCC Shah Alam pada Ahad. - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Tun Dr Mahathir (tiga dari kanan) hadir pada Perhimpunan Agung Tahunan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) 2026 di IDCC Shah Alam pada Ahad. - Foto: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan politik Melayu ketika ini berada pada titik paling kritikal apabila orang Melayu berdepan dilema besar untuk memilih antara dua pilihan yang menurutnya masing-masing mempunyai risiko dan implikasi tersendiri.

Beliau berkata, satu pilihan dilihat berpotensi meminggirkan agama, bangsa dan falsafah tanah air sebagai Tanah Melayu, manakala satu lagi pula dianggap seolah-olah menghalalkan kemungkaran.

Menurutnya, keadaan itu boleh diibaratkan seperti peribahasa Melayu, “ditelan mati emak, diluah mati bapak.”

“Namun, kita tidak mempunyai banyak masa untuk memikirkan pilihan manakah yang terbaik ataupun mencari penyelesaian lain yang lebih sesuai.

“Maka, kita terpaksa membuat keputusan berdasarkan pilihan yang kurang membawa mudarat.

“Kita sudah boleh melihat mana satu yang lebih memudaratkan. Manakala satu lagi masih memberi harapan untuk melakukan perubahan dan, jika perlu, melawannya dari dalam atau membentuk perjuangan baharu selepas memastikan kelangsungan kewujudan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rafique Rashid Ali pada Perhimpunan Agung Pejuang 2026 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, pada Ahad.

Dr Mahathir berkata, percaturan politik dan perubahan jajaran politik bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam dunia politik.

Bagaimanapun, katanya, perubahan terhadap matlamat perjuangan merupakan perkara yang perlu diberi perhatian kerana prinsip perjuangan parti menjadi asas keyakinan penyokong.

Artikel Berkaitan:

“Prinsip perjuangan penting kerana ia memberikan keyakinan kepada penyokong bahawa matlamat yang diperjuangkan berlandaskan nilai dan prinsip yang jelas.

“Dalam politik, tidak ada sahabat yang kekal. Yang kekal hanyalah matlamat.

“Namun, dalam usaha melakukan tolak ansur demi mencapai matlamat tersebut, perlu diingat bahawa matlamat itu tidak seharusnya menghalalkan semua cara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!