Kecewa, tidak peduli politik punca penyokong PH tidak keluar mengundi - Anthony Loke

Anthony (tengah) pada Konvensyen Tahunan DAP Johor di Kluang pada Ahad.
Anthony (tengah) pada Konvensyen Tahunan DAP Johor di Kluang pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Sikap tidak peduli terhadap politik (political apathy) dan kekecewaan dikenal pasti antara faktor menyebabkan sebahagian penyokong Pakatan Harapan (PH) tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, keadaan itu menjadi cabaran kepada PH untuk mengembalikan semangat penyokong serta meyakinkan mereka bahawa gabungan berkenaan masih menjadi pilihan terbaik pada pilihan raya akan datang.

“Sebahagian pengundi yang tidak keluar mengundi bukanlah mereka yang tidak pernah menyokong PH, sebaliknya termasuk pengundi atas pagar yang pernah memberikan sokongan kepada gabungan itu.

“Ini cabaran kepada kita untuk memberikan semula semangat kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas Konvensyen Tahunan DAP Johor di sini pada Ahad.

Hadir sama, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Teo Nie Ching.

Dalam perkembangan sama, Anthony berkata, DAP berjaya mempertahankan kesemua empat kerusi penyandang pada PRN Melaka meskipun berdepan cabaran apabila BN dan Perikatan Nasional (PN) menyatukan kekuatan menerusi strategi pemindahan undi.

Beliau berkata, kejayaan itu termasuk mempertahankan kerusi DUN Ayer Keroh yang sebelum ini dianggap berisiko tinggi kepada DAP berikutan komposisi pengundi campuran.

Katanya, kemenangan calon DAP, Kerk Chee Yee dengan majoriti 5,604 undi dan memperoleh 55 peratus daripada keseluruhan undi membuktikan parti itu masih mampu meraih sokongan pengundi Melayu.

Artikel Berkaitan:

“Ayer Keroh mempunyai lebih 40 peratus pengundi Melayu dan kita mendapat lebih 20 peratus daripada pengundi Melayu, khususnya pengundi golongan muda.

“Ini membuktikan bahawa sekiranya kita membuat kerja secara konsisten, calon berwibawa dan wakil rakyat sentiasa turun padang, tidak mustahil kita mendapat sokongan pengundi Melayu walaupun calon daripada DAP,” katanya.

Selain Ayer Keroh, DAP turut mempertahankan kerusi DUN Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir pada PRN Melaka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!