Kanak-kanak lelaki lemas di kolam rekreasi

GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dipercayai lemas di sebuah kolam rekreasi di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian itu kira-kira jam 11 pagi.
Menurut beliau, mangsa kemudian dibawa menaiki ambulans ke Jabatan Kecemasan Hospital Gua Musang untuk mendapatkan rawatan.
“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Choon Foo berkata, kanak-kanak berkenaan dipercayai sedang beriadah bersama bapanya di lokasi rekreasi tersebut.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti keadaan dan punca sebenar kejadian,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memberi pengawasan rapi terhadap anak-anak, khususnya ketika berada di kolam renang, sungai atau kawasan rekreasi air.
“Pihak polis tidak akan membuat sebarang spekulasi sehingga semua fakta dan hasil siasatan diperoleh.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

