Najib bagi #TakutApaBossku pada Kit Siang

Paparan Facebook Najib.
A
A

SHAH ALAM - Populariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di media sosial akhir-akhir ini dilihat melonjak naik dengan hantaran 'troll' buat PH.

Malah #TakutApaBossku menjadi fenomena di laman sosial sehinggakan setiap hantaran Najib di Facebook mendapat ribuan reaksi dan perkongsian.

Dalam hantaran terbaru, Najib memberi #TakutApaBossku buat veteran DAP, Lim Kit Siang.

Kata Najib, beliau hairan mengapa Kit Siang terlalu obses dengan dirinya sehingga mengeluarkan kenyataan setiap hari untuk menyerang secara peribadi walaupun beliau tidak lagi Perdana Menteri atau Presiden Umno dan BN.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mempersoalkan, mengapa Kit Siang tidak terus mengaitkan dirinya dengan kematian Altantuya Shaaribu: Teoh Beng Hock: Timbalan Pendakwaraya, Datuk Anthony Kevin Morais dan Pengasas Kumpulan Perbankan Arab-Malaysia (AmBank), Hussain Najadi.

Malah soalnya, adakah tuduhan selama ini diakui oleh Kit Siang sebagai fitnah terhadap dirinya selama bertahun-tahun.

"#TakutApaBossku. Kit Siang tidak mahu lagi mencari kebenaran mengenai kematian Altantuya, Teoh Beng Hock, Kevin Morais dan Hussain Najadi yang dia pernah sering mengaitkan dengan saya sebelum ini ke?.

"Sudah lebih dari tiga bulan dahulu, pegawai saya telah membantu Kit Siang untuk mencari kebenaran dengan membuat laporan polis terhadap saya tentang kes-kes kematian tersebut," katanya di Facebooknya, hari ini.

Dalam hantaran berlainan, Najib turut mengusik Kit Siang yang dikatakan tidak selesa andai beliau turun berkempen untuk BN dalam PRK Cameron Highlands.

"Dengar khabar Kit Siang tak selesa saya ke Cameron Highlands. Rilek laaaaa," tulisnya.