4 inisiatif perkukuh institusi raja dan adat Negeri Sembilan

SHAH ALAM – Institusi raja di Negeri Sembilan mempunyai keunikan tersendiri kerana berasaskan hubungan antara Yang di-Pertuan Besar dan pembesar memerintah yang terdiri daripada Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin.
Pakar perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan, ia agak berbeza dengan Negeri Melayu yang lain.
Menurutnya, penyandang pangkat adat di Luak mempunyai peranan tertentu walaupun sebahagian besar fungsi mereka telah diambil alih oleh pentadbiran awam (sivil).
“Dalam pada itu, mereka merupakan sebahagian institusi yang mengangkat keabsahan pemilihan Undang Yang Empat yang dipelihara mengikut kuasa yang diperuntukkan kepada Dewan Keadilan Undang (DKU).
“Dengan keperluan hari ini dan peranan mereka dalam wilayah masing-masing, kenaikan elaun wajar, bahkan dalam kalangan mereka perlu diberi peluang untuk menyertai proses pembuatan polisi serta lain-lain peranan dalam pentadbiran awam, khususnya di dalam wilayah adat masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.
Ketika ini terdapat empat inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri Sembilan ke arah memperkukuh institusi raja dan warisan adat yang menjadi identiti negeri.
Empat inisiatif itu ialah menaikkan elaun YTM Undang dan Tok-Tok Adat, program pemeliharaan serta pengembangan adat dan peruntukan khas memartabatkan Adat Perpatih.
Menurut Wan Ahmad Fauzi, dalam konteks dunia moden, program pemeliharaan amat penting kerana adat itu memelihara elemen jati diri watan yang merangkumi juga kemoralan dan adab tempatan.
Kata beliau, banyak pusaka yang akan terpelihara jika ada program yang berstruktur untuk melestarikan khazanah bangsa Melayu berdaulat.
“Bangsa Melayu di sini ialah orang Melayu, Orang Asli malah termasuk ahli kaum lain yang telah diperkenankan menjadi rakyat raja Melayu. Pada hari ini bangsa itu ialah warganegara atau kerakyatan.
“Bagaimanapun masih terdapat cabaran antaranya sejauh mana kita memahami, menghayati dan melihat keperluan aspek tradisional dalam memelihara jati diri watan yang pernah satu ketika dahulu membina ketamadunan agung bangsa Melayu yang berdaulat.
“Kita tidak boleh menafikan kepentingannya khususnya dalam konteks Negeri Sembilan kerana sebahagiannya menyentuh adat perlembagaan negeri itu,” ujarnya.
Ditanya mengenai hubungan antara institusi raja yang merangkumi Yang di-Pertuan Besar, Pembesar Memerintah dan Adat Perpatih dalam membentuk keunikan Negeri Sembilan berbanding negeri-negeri lain, beliau memberitahu, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan merupakan kesepakatan Raja Pemerintahnya.
“Di situ terletak tadbir urus pemerintahan yang mentakrifkan perhubungan antara mereka.
“Ia bukan peranan Yang di-Pertuan Besar berseorangan dalam pemerintahan Negeri Sembilan seperti kedudukan Raja-Raja Melayu yang lain di negeri masing-masing, begitu juga bukan semata-mata atas kehendak Pembesar Memerintah sahaja.
“Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah ialah Raja Pemerintah Negeri Sembila secara bersama. Ini kerana setiap daripada mereka mempunyai wilayah kekuasaan masing-masing,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

