Kematian De Miguel, Owono digantung 12 perlawanan

PENJAGA gol FC Andorra, Jesus Owono digantung selama 12 perlawanan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) susulan insiden pertembungan dengan penyerang Tenerife, Jesus de Miguel yang membawa kepada kematian pemain itu minggu lalu.
Insiden berlaku apabila Owono keluar meninggalkan kawasan gol sebelum bertembung dengan De Miguel ketika cuba mengeluarkan bola tinggi di kawasan tengah padang.
Akibat pertembungan itu, De Miguel dikejarkan ke hospital dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia pada 3 November lalu.
Jawatankuasa Tatatertib RFEF dalam satu kenyataan memaklumkan hukuman maksimum 12 perlawanan dikenakan berdasarkan laporan pengadil yang menyatakan Owono melakukan kekasaran secara ganas terhadap pemain lawan menggunakan kaki dengan kekuatan berlebihan ketika bola masih dalam permainan.
"Susulan sifat perbuatan yang dinyatakan serta keadaan yang mengiringi insiden berkenaan, hukuman maksimum iaitu penggantungan 12 perlawanan adalah wajar," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pihak polis Sepanyol sebelum ini mengesahkan siasatan berhubung insiden berkenaan telah dibuka di bawah pengawasan pihak kehakiman.
Owono sebelum ini menyifatkan pemergian De Miguel sebagai detik paling sukar dalam hidupnya selain mengakui masih bergelut untuk menerima tragedi berkenaan.
"Saya sedang melalui hari-hari paling sukar dalam hidup. Sukar untuk saya mencari kata-kata dan menerima segala yang berlaku.
"Saya amat berdukacita atas kehilangan Jesus. Ingatan saya sentiasa bersama beliau, keluarganya dan semua insan yang menyayanginya," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan FC Andorra.
Dalam pada itu, ketua jurulatih FC Andorra, Carles Manso berkata, keputusan mengenai bila dan sama ada Owono akan kembali beraksi selepas tragedi berkenaan terletak sepenuhnya kepada penjaga gol itu sendiri.
Pada Sabtu lalu, pemain dan penyokong Tenerife turut berhimpun di stadium kelab berkenaan bagi mengadakan majlis memperingati serta memberikan penghormatan terakhir kepada De Miguel.
Majlis pengebumian penyerang itu berlangsung Khamis lalu dengan dihadiri kira-kira 400 orang termasuk ketua jurulatih Sepanyol, Luis de la Fuente dan Presiden Real Madrid, Florentino Perez.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
