Amil perlu patuh arahan KKM: KM Melaka

Sulaiman (tengah) menyerahkan kupon zakat fitrah kepada seorang wakil amil di Pejabat Zakat Melaka, Bukit Baru di sini petang semalam.
Sulaiman (tengah) menyerahkan kupon zakat fitrah kepada seorang wakil amil di Pejabat Zakat Melaka, Bukit Baru di sini petang semalam.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka menyarankan supaya seramai 947 amil yang dilantik di negeri ini mematuhi peraturan serta arahan yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, ini termasuk mengutamakan penjarakan sosial dan menggelakkan bersalam antara satu sama lain ketika berakad dan menggunakan peralatan yang dibekalkan Zakat Melaka seperti cecair pembasmi kuman, topeng muka dan sarung muka untuk melaksanakan tugas tersebut.

Menurutnya, peranan amil penting untuk membantu umat Islam menunaikan zakat tanpa mereka perlu keluar rumah dan hanya menunggu amil datang ke kediaman masing-masing sekali gus memastikan hasil kutipan zakat fitrah tahun ini memberangsangkan biarpun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita juga menyarankan kepada amil-amil yang berusia dan tidak mempunyai keupayaan agar tidak perlu membuat tugasan itu.

"Namun individu itu hendaklah menyerahkan tugas kepada amil yang lain bagi menggelakkan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini," katanya.

Sulaiman berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan kupon zakat fitrah kepada wakil amil di Pejabat Zakat Melaka di Bukit Baru di sini petang semalam.

Hadir sama, Mufti Melaka, Datuk Halim Tawil; Timbalan Pengerusi Zakat Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Noor Affandi Ahmad dan Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Ibrahim Fadzi.

Sulaiman yang juga Pengerusi Zakat Melaka berkata, setakat ini tiga saluran yang disediakan Zakat Melaka bagi memudahkan umat Islam di negeri ini melunaskan kewajipan membayar zakat fitrah termasuk melalui laman web rasmi Zakat Melaka www.izakat.com, menerusi kod imbasan QRpay Bank Muamalat dan muat turun aplikasi Gopayz.

Artikel Berkaitan:

"Ketua keluarga yang mahir dalam penggunaan teknologi boleh menunaikan zakat fitrah bagi pihak ahli keluarga yang lain, terutama ibu bapa atau orang lebih berumur di sekeliling kediaman mereka bagi mengekang penularan Covid-19," katanya.