Teknologi AI buka ruang serangan siber

GELOMBANG serangan siber telah melanda beberapa negara di Eropah sejak kebelakangan ini dengan menyasarkan pelbagai sektor termasuk institusi perbankan dan pasar raya.
Siri penggodaman tersebut telah mengganggu sistem operasi peti sejuk dan peti beku di pasar raya sehingga menyebabkan suhu penyimpanan meningkat kepada lebih 50 darjah Celsius.
Keadaan ini mengakibatkan makanan yang disimpan rosak dan tidak lagi selamat untuk digunakan, sekali gus menyebabkan pihak pasar raya mengalami kerugian yang besar.
Serangan yang berlaku pada 2 November lalu itu melibatkan pasar raya di sejumlah negara seperti Jerman, Itali, Ireland dan negara-negara Nordik. Kejadian ini berlaku hampir sebulan selepas serangan serupa dilaporkan melibatkan kira-kira 500 hingga 700 pasar raya di Perancis.
Negara Eropah Barat itu sekali lagi menjadi sasaran apabila Institusi Darah Perancis (EFS) melaporkan peti sejuk penyimpanan darah turut digodam sehingga memerlukan tindakan kecemasan.
Pelbagai spekulasi timbul berhubung pihak yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut termasuk penglibatan negara tertentu dan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI). Teknologi itu dipercayai menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kekerapan serangan siber kerana AI memudahkan orang ramai mengakses kemahiran teknikal seperti pengaturcaraan.
Ia menjadikan aktiviti penggodaman lebih mudah dilakukan individu tidak mempunyai kepakaran teknikal yang tinggi.
Selain itu, penggodam kini boleh memanfaatkan teknologi AI untuk mengautomasikan aktiviti seperti serangan pancingan data (phishing) dan pembangunan perisian hasad (malware). Kaedah tersebut membolehkan mereka memperoleh maklumat pengguna untuk menceroboh sistem perisian yang mempunyai perlindungan keselamatan.

Rusia jadi dalang?
Serangan perisian tebusan (ransomware) masih merupakan antara bentuk jenayah siber yang paling berbahaya. Penjenayah siber bukan sahaja menyasarkan syarikat besar malah turut memberi tumpuan kepada organisasi berskala kecil seperti syarikat perniagaan, hospital, sekolah dan agensi kerajaan. Organisasi ini sering mempunyai sistem perlindungan yang terhad, sekali gus menjadikannya lebih mudah digodam.
Serangan tersebut boleh mengganggu operasi organisasi dan mendedahkan maklumat sulit kepada pihak tidak bertanggungjawab. Oleh sebab itu, penyediaan sistem sandaran data dan mekanisme pemulihan amat penting bagi memastikan operasi tidak terjejas sekiranya berlaku serangan secara tiba-tiba.
Isu kebocoran data terus menjadi masalah yang membimbangkan kerana banyak maklumat pelanggan dan perniagaan disimpan melalui platform dalam talian. Risiko kebocoran data berpunca daripada penggunaan kata laluan yang lemah, akaun pekerja yang digodam, kelemahan keselamatan pihak ketiga dan kekurangan perlindungan terhadap sistem keselamatan awan (cloud security).
Ketika ini, beberapa pihak menuding jari menyalahkan Rusia sebagai dalang serangan siber di tengah-tengah peningkatan konflik dengan Ukraine. Penggodaman terhadap peti sejuk pasar raya dan syarikat antarabangsa dikatakan mendedahkan tentang kelemahan sistem digital yang lebih kompleks termasuk sistem ketenteraan dan pentadbiran kerajaan. Bagaimanapun, dakwaan mengenai penglibatan Moscow masih belum dapat dipastikan malah Kremlin berulang kali menafikannya.
Peningkatan kes serangan siber sepanjang tahun ini jelas menunjukkan bahawa kelemahan sistem perisian semakin membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan pencerobohan dan mengeksploitasi maklumat sulit. Oleh itu, aspek keselamatan perisian perlu diperkukuhkan khususnya apabila semakin banyak peranti harian dihubungkan kepada rangkaian internet.
Industri paling berisiko
Terdapat beberapa sektor industri yang terus berhadapan dengan risiko serangan siber disebabkan sifat operasi dan maklumat yang dikendalikan.
1.Perkhidmatan Kewangan: Industri perbankan sering menjadi sasaran penipuan kewangan dan serangan pancingan data yang boleh mengancam keselamatan transaksi serta maklumat pelanggan.
2.Penjagaan Kesihatan: Hospital menyimpan pelbagai maklumat peribadi dan rekod kesihatan pesakit yang penting menjadikannya sasaran utama penjenayah siber.
3.Teknologi: Syarikat pembangunan perisian terus menjadi sasaran kerana menyimpan maklumat teknikal, data pengguna dan sistem teknologi yang penting.
4.Kerajaan: Organisasi sektor awam berhadapan dengan ancaman pengintipan siber yang bertujuan mendapatkan maklumat sulit dan data berkaitan keselamatan negara.
5.Peruncitan: Sektor peruncitan menyimpan maklumat pembayaran dan data pelanggan lantas menarik perhatian penjenayah siber untuk melakukan pencerobohan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

