Salur RM2.9 juta sempena Ramadan

Wan Rohani Wan Mustapha, 37, tersenyum apabila menerima pek makanan asas daripada pihak Maybank Islamic di rumahnya di Kuala Krai, Kelantan.
Wan Rohani Wan Mustapha, 37, tersenyum apabila menerima pek makanan asas daripada pihak Maybank Islamic di rumahnya di Kuala Krai, Kelantan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sempena kehadiran bulan Ramadan, Maybank Islamic Berhad tahun ini memperuntukkan dana bantuan sebanyak RM2.9 juta kepada lebih 15,000 keluarga kurang berkemampuan di 10 negara ASEAN.

Daripada jumlah bantuan itu, sebanyak RM1.7 juta diperuntukkan kepada lebih 9,000 keluarga di Malaysia di mana mereka diagihkan bekalan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, garam, telur dan gula.

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohammed Rafique Merican berkata, pihaknya sedar akibat perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat masyarakat atau komuniti yang terkesan apabila pendapatan mereka telah terjejas.

“Oleh sebab itu, kami berharap bantuan asas makanan yang bernilai RM2.9 juta ini di mana RM1.7 juta untuk rakyat kita di Malaysia sedikit sebanyak meringankan bebanan masyarakat yang memerlukan pertolongan pada bulan Ramadan yang kami pasti lebih mencabar tahun ini akibat penularan Covid-19 sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak 2013, program kemasyarakatan Maybank Islamic itu telah memperuntukkan sebanyak hampir RM13 juta sekali gus memberi manfaat kepada hampir 90,000 keluarga terutama kumpulan B40 yang terdiri daripada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), anak-anak yatim, nelayan, petani serta golongan yang kurang berkemampuan yang lain.

Program tahunan Regional Ramadhan Relief (Ramadhan Relief Serantau) itu dijalankan dengan kerjasama tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Islamic Relief Malaysia (IRM), Mercy Malaysia dan Islamic Aid Malaysia (IAM).

Mustaffa Hassan, 58, (kiri) menerima sumbangan pek makanan asas daripada wakil pihak Islamic Aid Malaysia, rakan kemanusiaan Maybank Islamic di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur.
Mustaffa Hassan, 58, (kiri) menerima sumbangan pek makanan asas daripada wakil pihak Islamic Aid Malaysia, rakan kemanusiaan Maybank Islamic di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur.

Mohamed Rafique berkata, program itu selaras dengan misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di seluruh Asia dan untuk Maybank Islamic, usaha atau inisiatif ini selari dengan prinsip maslahah (kebaikan) umum yang ditekankan oleh syariah.

Artikel Berkaitan:

“Kami berasa amat bersyukur kerana tahun ini merupakan tahun kelapan program ini dilaksanakan, bukan sahaja memberi manfaat kepada golongan kurang berkemampuan di Malaysia.

"Malah masyarakat di sembilan buah negara ASEAN termasuklah Indonesia, Singapura, Vietnam, Filipina, Laos, Thailand, Kemboja, Brunei dan komuniti terpinggir Myanmar iaitu etnik Rohingya turut mendapat manfaat,” ujar beliau.

Pada tahun ini, Maybank Islamic memperuntukkan dana lebih RM15 juta melalui program tanggungjawab korporat yang akan diagihkan sepanjang tahun 2020.

Antara program yang dijalankan ialah bantuan kewangan pendidikan, program pemerkasaan komuniti bersama mualaf, bantuan kemanusiaan, program air bersih dan sosioekonomi bagi kumpulan luar bandar, program komuniti angkat bersama masyarakat miskin bandar serta program kesihatan kanak-kanak bersama Institut Jantung Negara (IJN).