TVET: Belia desa kini pencipta peluang ekonomi, bukan lagi pencari kerja

Bidang seperti automotif, penyaman udara, kejuruteraan, automasi, reka bentuk digital dan teknologi maklumat misalnya, menawarkan ruang kepada anak muda untuk mengembangkan kemahiran praktikal menjadi perkhidmatan serta perusahaan yang mempunyai nilai komersial. Gambar kecil: Profesor Dr Mohamad Sattar Rasul
Bidang seperti automotif, penyaman udara, kejuruteraan, automasi, reka bentuk digital dan teknologi maklumat misalnya, menawarkan ruang kepada anak muda untuk mengembangkan kemahiran praktikal menjadi perkhidmatan serta perusahaan yang mempunyai nilai komersial. Gambar kecil: Profesor Dr Mohamad Sattar Rasul
A
A
A

SHAH ALAM – Siapa kata anak muda di desa perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan membina kehidupan lebih baik?

Dengan penguasaan kemahiran teknikal, teknologi serta keusahawanan, golongan belia luar bandar kini mempunyai peluang untuk membina perniagaan sendiri, menjana pendapatan malah menyediakan pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Perubahan itu sekali gus memperlihatkan pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar laluan alternatif untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya mampu menjadi landasan kepada pembentukan usahawan baharu yang menggerakkan ekonomi desa.

Bidang seperti automotif, penyaman udara, kejuruteraan, automasi, reka bentuk digital dan teknologi maklumat misalnya, menawarkan ruang kepada anak muda untuk mengembangkan kemahiran praktikal menjadi perkhidmatan serta perusahaan yang mempunyai nilai komersial.

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar laluan alternatif untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya mampu menjadi landasan kepada pembentukan usahawan baharu yang menggerakkan ekonomi desa.
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bukan sekadar laluan alternatif untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya mampu menjadi landasan kepada pembentukan usahawan baharu yang menggerakkan ekonomi desa.

Malah, dengan perkembangan teknologi dan perubahan keperluan pasaran, peluang untuk mengembangkan perniagaan tidak lagi terbatas kepada kawasan setempat, sebaliknya boleh diperluas menerusi platform digital dan perdagangan elektronik (e-dagang).

Perkembangan itu selari dengan aspirasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi agenda Ekonomi Desa Nasional (EDN), yang antara lain memberi penekanan kepada pembangunan modal insan, peningkatan pendapatan dan pengukuhan ekosistem ekonomi luar bandar.

Antara contoh yang memperlihatkan potensi berkenaan ialah kejayaan alumni GIATMARA yang berjaya menterjemahkan kemahiran teknikal kepada perusahaan yang bukan sahaja menjana pendapatan, malah membuka peluang pekerjaan kepada orang lain.

Artikel Berkaitan:

Di Perlis, Muhammad Anis Hussin, 33, membuktikan kemahiran dalam bidang teknologi penyejukbekuan dan penyaman udara mampu menjadi asas untuk membina kerjaya serta perniagaan sendiri.

Muhammad Anis bangga menunjukkan perusahan syarikat pensingin hawa diusahakannya di Perlis kini mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada belia desa di negeri itu.
Muhammad Anis bangga menunjukkan perusahan syarikat pensingin hawa diusahakannya di Perlis kini mampu menawarkan peluang pekerjaan kepada belia desa di negeri itu.

Alumni GIATMARA Padang Besar itu memulakan langkah dalam bidang berkenaan dengan bekerja selama tiga tahun di sebuah syarikat di Kangar selepas menamatkan latihan kemahiran dan memperoleh sijil berkaitan.

Berbekalkan pengalaman industri, beliau kemudian menubuhkan Fayyadh Cooling Enterprise secara kecil-kecilan dengan menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan penyaman udara.

Daripada operasi yang pada awalnya diusahakan sendiri, perniagaan itu kini berkembang dengan menawarkan perkhidmatan pemasangan dan pembaikan penyaman udara, pembaikan peti sejuk serta pendawaian elektrik.

Lebih menarik, perusahaan berkenaan kini mempunyai tiga pekerja dan meluaskan perkhidmatan kepada pelanggan di sekitar Perlis serta Kedah.

"Selepas menamatkan pengajian di GIATMARA dan memperoleh sijil kemahiran, saya tidak terburu-buru untuk memulakan perniagaan sendiri.

"Sebaliknya, saya mengambil keputusan menimba pengalaman dalam industri terlebih dahulu dengan bekerja di sebuah syarikat di Kangar.

"Pengalaman tersebut menjadi langkah awal yang penting untuk membina keyakinan, mengasah kemahiran dan menyediakan diri sebelum melangkah lebih jauh dalam bidang keusahawanan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Kisah sama turut dikongsikan Sulaiman Ibrahim, 34, dari Kuching, Sarawak yang berjaya mengembangkan perniagaan bengkel automotif daripada operasi kecil-kecilan kepada sebuah pusat servis kereta.

Bagi Sulaiman, bengkel automotif diusahakannya di Kuching Sarawak berjaya memberi punca rezeki kepada 11 pekerja belia.
Bagi Sulaiman, bengkel automotif diusahakannya di Kuching Sarawak berjaya memberi punca rezeki kepada 11 pekerja belia.

Alumni GIATMARA Bandar Kuching itu memulakan perniagaan berkenaan dengan modal RM10,000 sebelum berjaya mengembangkan operasinya sehingga mencatatkan pendapatan mencecah RM1.8 juta pada 2025.

Lebih daripada pencapaian perniagaan, kejayaannya turut diterjemahkan melalui penyediaan pekerjaan kepada 11 pekerja.

"Pada awalnya, keputusan saya memilih bidang TVET hanyalah didorong oleh keinginan untuk mencuba dan meneroka kemahiran baharu.

"Saya ingin mengetahui sejauh mana potensi bidang berasaskan kemahiran praktikal ini serta melihat sama ada ia benar-benar sesuai dengan minat dan jiwa saya," ujarnya.

Sementara itu, alumni GIATMARA Mukah, Faizul Nizan Let, 37, membuktikan laluan TVET juga mampu membuka ruang kepada graduan untuk menerokai sektor pembinaan dan mengembangkan perusahaan pada skala lebih besar.

Menerusi Hamizan Arif Group Sdn. Bhd., syarikat berkenaan dilaporkan mencatatkan pendapatan tahunan RM16.6 juta pada 2025, selain menyediakan peluang pekerjaan kepada 30 pekerja tempatan.

SH: Kemahiran perlu seiring teknologi, keusahawanan

Bagaimanapun, kejayaan melahirkan usahawan daripada kalangan graduan TVET tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah perusahaan yang berjaya dibangunkan.

Sebaliknya, ia perlu dinilai menerusi keupayaan sistem latihan menyediakan kemahiran yang benar-benar memenuhi keperluan pasaran.

Pakar TVET dari Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Mohamad Sattar Rasul berkata, perkembangan teknologi industri menuntut institusi latihan kemahiran melakukan penambahbaikan berterusan, khususnya dalam aspek pendedahan kepada teknologi baharu dan kemahiran digital.

Menurutnya, graduan TVET perlu menguasai kemahiran teknologi tinggi bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dalam perubahan landskap pekerjaan yang semakin dipengaruhi automasi dan kecerdasan buatan (AI).

"Industri telah memasuki era IR 4.0 dan 5.0 yang memerlukan teknologi tinggi seperti AI dan percetakan 3D. Namun, institusi TVET kita belum selari dengan perubahan teknologi ini.

"Banyak institusi TVET masih melaksanakan program secara konvensional, mungkin disebabkan masalah infrastruktur atau kekurangan kepakaran," katanya kepada Sinar Harian sebelum ini.

Mohamad Sattar turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara institusi TVET dengan pihak industri menerusi perkongsian kepakaran dan kemudahan bagi meningkatkan kualiti latihan serta kompetensi graduan.

"Kerjasama ini melibatkan perkongsian kepakaran dan fasiliti industri dengan institusi yang akan meningkatkan kualiti pelajar dan pensyarah," ujarnya.

Dalam konteks pembangunan ekonomi desa, Mohamad Sattar berkata pendekatan itu perlu diperluas dengan mengintegrasikan elemen keusahawanan supaya graduan bukan sahaja mempunyai kemahiran untuk bekerja, malah berupaya mengenal pasti peluang pasaran, mengurus perniagaan dan mengembangkan perusahaan sendiri.

"Penguasaan teknologi digital, automasi dan e-dagang juga perlu diberikan perhatian agar usahawan muda luar bandar mampu meningkatkan produktiviti serta menembusi pasaran lebih luas.

"Pada masa sama, akses kepada pembiayaan, peralatan moden, khidmat bimbingan perniagaan dan jaringan industri perlu diperkukuh bagi memastikan perusahaan yang dibangunkan mampu bertahan dalam persaingan," ujarnya.

Justeru, kejayaan transformasi belia desa daripada pencari kerja kepada pencipta peluang ekonomi memerlukan ekosistem TVET yang bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, tetapi turut membentuk usahawan berpengetahuan, inovatif dan berdaya saing.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!