PTPTN semai budaya menabung sejak lahir

GEORGETOWN - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) terus memperkukuh usaha membudayakan tabungan pendidikan sejak awal kelahiran menerusi Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2026.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diperkenalkan pada 2023 diteruskan sempena Hari Tabungan Sedunia bagi menggalakkan ibu bapa merancang masa depan pendidikan anak-anak lebih awal.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, sejak diperkenalkan, Program Junior Superhero Simpan SSPN dilaksanakan di beberapa hospital termasuk Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Pada hari ini, PTPTN menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada 50 bayi yang dilahirkan pada Oktober 2026 di Hospital Pulau Pinang (HPP). Setiap bayi akan menerima RM100 dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime, selain hamper bernilai RM100.
"Kami mengharapkan sumbangan ini dapat memberi sedikit kegembiraan kepada mereka yang baru mendapat kelahiran anak-anak mereka. Ia juga dapat menggalakkan budaya penabungan sejak awal kelahiran," katanya ketika hadir ke Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2026 di sini pada Selasa.
Beliau berkata, selain inisiatif PTPTN, ibu bapa di Pulau Pinang juga boleh memanfaatkan Program Anak Emas menerusi kerjasama strategik PTPTN dengan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"Program Anak Emas ini merupakan insentif Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk kelahiran baharu di Pulau Pinang. Mulai 15 Januari 2024, insentif Program Anak Emas diberikan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan tunai yang mana RM100 disalurkan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime dan RM100 lagi dikreditkan dalam akaun bank individu," katanya.
Dalam perkembangan sama, Norliza berkata, sehingga 30 September 2026, sebanyak 12,923 akaun telah dibuka dan PTPTN menerima penambahan simpanan akaun Simpan SSPN dengan jumlah deposit sebanyak RM1.29 juta.
"Dari tempoh Januari 2024 hingga 30 September 2026, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah sebanyak RM26.07 bilion, melibatkan 7.74 juta akaun. Sehingga September, deposit akaun Simpan SSPN yang diterima bagi negeri Pulau Pinang berjumlah RM3.05 bilion, dengan lebih 400,000 akaun," katanya.
Menurutnya, penganjuran tersebut mencerminkan komitmen PTPTN untuk mendekati masyarakat dan menyokong perancangan pendidikan anak sejak awal usia.
Katanya, usaha itu juga selari dengan hasrat membentuk masyarakat yang lebih celik kewangan serta menyumbang kepada pembangunan modal insan negara.
Menurut beliau, Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat antaranya pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga layak, kadar dividen kompetitif, simpanan dijamin kerajaan dan patuh syariah.
"PTPTN sentiasa komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dan melaksanakan inisiatif yang menyokong perancangan kewangan pendidikan keluarga.
"Ibu bapa digalakkan memulakan tabungan pendidikan anak-anak seawal mungkin melalui Simpan SSPN kerana setiap simpanan hari ini menjadi bekalan untuk merealisasikan impian mereka pada masa hadapan," katanya.
Ibu bapa hargai inisiatif PTPTN
Salah seorang penerima, Puteh Hafizah Zaleha Moksom berkata, anak ketiganya yang dilahirkan di negeri Pulau Pinang pada 26 Oktober lalu menerima manfaat yang ditawarkan oleh PTPTN.
"Selain dapat mendaftar akaun Simpan SSPN Prime berjumlah RM100, anak saya juga menerima hamper barangan bayi bernilai RM100.
"Dua lagi anak lelaki saya lahir di Perak dan yang sulung belum ada akaun Simpan SSPN. Saya merancang untuk mendaftarkan ketiga-tiga anak sekali gus dengan membuat potongan gaji setiap bulan demi tabungan masa depan mereka," katanya.

Sementara itu, penerima lain, Siti Noor Farhani Abdullah turut mempunyai pendapat yang sama seperti Puteh Hafizah mengenai manfaat yang diterima oleh anak mereka.
“Alhamdulillah, ia merupakan rahmat kepada kami sekeluarga apabila anak kesembilan saya yang dilahirkan pada 25 Oktober lepas telah dipilih sebagai peserta Program Junior Superhero Simpan SSPN Tahun 2026.
"Saya berterima kasih kepada PTPTN yang mengkreditkan RM100 ke dalam akaun Simpan SSPN anak. Bukan mudah untuk memperoleh manfaat seperti ini, berbanding adik-beradik yang lain, hanya dia yang sudah mempunyai akaun Simpan SSPN Prime,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Noorhafiz Mohd Rosli tidak menyangka anak ketiganya terpilih sebagai penerima sumbangan tersebut kerana isterinya, Nurul Amira Ramli, 36, tidak memaklumkan perkara itu lebih awal.
“Saya memang tidak tahu anak saya menerima sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN. Ini anak perempuan pertama kami, manakala dua lagi anak saya ialah lelaki dan kedua-duanya belum mempunyai akaun Simpan SSPN.
“Seronok juga sebab saya hanya tahu mengenainya sebaik tiba di hospital apabila isteri memaklumkan kami turut menerima hamper. Insya-ALLAH, selepas ini saya akan mempertimbangkan untuk membuka akaun Simpan SSPN bagi dua lagi anak saya,”
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
