Yusoff Rawther beri keterangan hari pertama pra-perbicaraan kes saman Anwar

Muhammed Yusoff Rawther dijangka memberi keterangan di pada hari pertama pra-perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Januari tahun hadapan.
Muhammed Yusoff Rawther dijangka memberi keterangan di pada hari pertama pra-perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Januari tahun hadapan.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther dijangka memberi keterangan hari pertama pra-perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Januari tahun hadapan.

Pendengaran dalam pra-perbicaraan itu berhubung lima isu awal berkaitan saman dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku 2018 lalu, yang difailkan Muhammed Yusoff terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum kes itu diteruskan ke perbicaraan penuh.

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim

Pra-perbicaraan kes berkenaan ditetapkan berlangsung selama lapan hari bermula 27 hingga 29 Januari dan bersambung dari 1 hingga 5 Mac.

Selepas pengurusan kes, peguam yang mewakili Yusoff, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, anak guamnya bersedia memberikan keterangan menerusi aplikasi Zoom memandangkan beliau kini berada di United Kingdom (UK).

“Yusoff bersedia untuk memberikan keterangannya menerusi Zoom dan saya menegaskan beliau akan hadir dalam prosiding itu.

“Saya menegaskan, anak guam tidak melarikan diri," katanya kepada media selepas prosiding yang dibuat secara dalam kamar di hadapan Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan pada Khamis.

Menurutnya, hakim turut membenarkan pihak media mengikuti prosiding pra-perbicaraan menerusi aplikasi sama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihak-pihak juga diarahkan hadir semula secara fizikal pada 27 November, bagi satu lagi pengurusan kes untuk mendapatkan arahan lanjut.

Dalam pada itu, Rafique berkata, prosiding akan dimulakan dengan isu-isu yang dibangkitkan iaitu permohonan Anwar untuk mengemukakan soalan khusus yang dibenarkan mahkamah.

Katanya, hakim menetapkan supaya keterangan dan isu yang dibangkitkan sepanjang pra-perbicaraan tertumpu kepada kejadian yang didakwa berlaku pada 2 Oktober 2018, khususnya di sebuah bilik belajar kediaman.

"Kes ini berkaitan perkara yang berlaku pada 2 Oktober 2018 contohnya Yusoff mendakwa kejadian ‘A’ sementara Anwar menafikannya.

"Hakim membenarkan semua pihak mengemukakan perkara yang ingin dibangkitkan sepanjang pra-perbicaraan, tetapi ia perlu terhad kepada kejadian pada tarikh berkenaan iaitu tidak melangkaui jam 3 petang pada 2 Oktober 2018," katanya.

Rafique berkata, waktu sebenar prosiding menerusi Zoom akan dimuktamadkan pada pengurusan kes 27 November ini dengan mengambil kira perbezaan waktu lapan jam antara Malaysia dan UK.

Pada 14 Julai 2021, Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar dengan mendakwa ahli politik itu telah menyerangnya secara seksual di sebuah kediaman di Segambut pada 2 Oktober 2018.

Beliau mendakwa laporan polis dibuat pada 7 Disember 2019 dan kesihatan mentalnya terjejas akibat kritikan daripada penyokong Anwar serta masyarakat.

Susulan itu, plaintif menuntut ganti rugi khas, am, teruk dan teladan serta kos dan relief lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Bagaimanapun Anwar menafikan dakwaan itu dan memfailkan tuntutan balas pada September 2021 dengan menyatakan bahawa tuduhan berkenaan adalah palsu dan tidak berasas.

Menurut Anwar, pada tarikh kejadian yang didakwa, beliau ada bersama keluarga dan rakan-rakan di kediamannya di Bukit Segambut.

Anwar kemudiannya memohon beberapa isu yang didakwa berkaitan pergerakan dan kehadiran Muhammed Yusoff di lokasi dan tarikh berkenaan, ditentukan terlebih dahulu sama ada melalui keterangan afidavit atau prosiding tertutup tanpa kehadiran media.

Menurutnya, penentuan isu berkenaan berpotensi menyelesaikan keseluruhan tuntutan saman berkenaan tanpa perbicaraan penuh.

Mahkamah Tinggi di sini menetapkan tarikh lain untuk keputusan permohonan Anwar supaya beberapa isu awal didengar sebelum perbicaraan saman dakwaan serangan seksual Muhammed Yusoff bermula.

Dalam prosiding berkenaan, pemimpin PKR diwakili peguam, Christopher Leong sementara Muhammed Yusoff sebagai plaintif diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!