Ugutan tak gentarkan Maritim Malaysia, aset operasi dipertingkat

Mohd Zawawi (tiga,kiri) semasa hadir merasmikan Penutupan Operasi Redback 23/2026 di Kota Bharu pada Khamis. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Mohd Zawawi (tiga,kiri) semasa hadir merasmikan Penutupan Operasi Redback 23/2026 di Kota Bharu pada Khamis. Foto:SINAR HARIAN/HAZELEN LIANA KAMARUDIN
A
A
A

KOTA BHARU - Ugutan daripada sindiket penyeludupan tidak akan menghentikan operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), malah agensi itu akan mempertingkatkan penggunaan aset dan penugasan anggota bagi membanteras kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui perairan negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Mohd Zawawi Abdullah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sebarang ancaman kerana usaha membanteras jenayah rentas sempadan adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Menurut beliau, pihaknya akan meneruskan operasi yang dirancang selain mempergiat tindakan berdasarkan maklumat risikan bagi mengekang kegiatan berkenaan.

"Walaupun apa juga ugutan, pelaksanaan tugas, tanggungjawab dan amanah tetap akan dilaksanakan.

"Kita akan mempertingkatkan lagi operasi termasuk dari segi aset serta penugasan anggota berdasarkan maklumat yang diterima," katanya semasa sidang akhbar selepas merasmikan Penutupan Operasi Redback 23/2026 di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, ancaman penyeludupan bukan hanya tertumpu di perairan Kelantan, sebaliknya turut berlaku di kawasan sempadan maritim negeri lain termasuk Kedah, Perlis dan Sabah.

Ujarnya, kawasan perairan Selat Melaka juga berdepan risiko sama berikutan kedudukan negara jiran yang tidak jauh dari perairan Malaysia.

Menurut Mohd Zawawi, ancaman jenayah rentas sempadan turut merangkumi penyeludupan dadah dan barangan kontraban yang sememangnya berada dalam skop penguatkuasaan Maritim Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!