Wakaf Dobi MAIPk jana pendapatan masjid, mudahkan musafir

Noraizad (kiri) bersama Mohamad Nasir (tengah) mengakui Projek Wakaf Dobi di Masjid Muhibbuddin Shah memberikan manfaat kepada masyarakat dan masjid.
Noraizad (kiri) bersama Mohamad Nasir (tengah) mengakui Projek Wakaf Dobi di Masjid Muhibbuddin Shah memberikan manfaat kepada masyarakat dan masjid.
A
A
A

IPOH – Projek Wakaf Dobi di Masjid  Muhibbuddin Shah di sini bukan sahaja  memudahkan urusan musafir dan  masyarakat setempat malah turut menjadi  sumber pendapatan baharu kepada masjid  menerusi konsep wakaf yang mampan.

Imam 1 Masjid Muhibbuddin Shah,  Mohamad Nasir Hassan berkata,  kemudahan mesin dobi layan diri itu  memberi manfaat kepada penghuni 10 unit  Kamar Musafir yang disediakan di masjid  berkenaan selain pelajar institusi pengajian  tinggi berhampiran dan penduduk sekitar.

Menurutnya, sebelum ini penghuni  Kamar Musafir terpaksa menggunakan  perkhidmatan dobi di luar kawasan namun  kini segala urusan mencuci pakaian dapat  dilakukan dengan lebih mudah di lokasi  sama.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima  sangat menggalakkan. Selain memudahkan  musafir, projek ini turut membantu menjana  ekonomi masjid.

“Purata jumlah kutipan yang diperoleh  ketika ini sekitar RM3,000 sebulan. Selepas  ditolak kos utiliti, penyelenggaraan dan  pengurusan, baki hasil tersebut digunakan  bagi membantu pengurusan masjid,”  katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pengurus Bahagian  Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Noraizad Rosli berkata,  projek berkenaan merupakan antara inisiatif  di bawah Dana Wakaf Perak Ar-Ridzuan  (WAPAR) menerusi teras ekonomi.

No Image Caption

Beliau berkata, konsep wakaf yang  dilaksanakan membolehkan hasil kutipan  diagihkan mengikut peratusan tertentu bagi  tujuan penyelenggaraan, pengurusan  masjid serta dikembalikan kepada dana  wakaf untuk membiayai lebih banyak projek  pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Ini bukan sekadar projek perniagaan  dobi, tetapi juga projek wakaf yang memberi  manfaat berterusan kepada masyarakat,  masjid dan penyumbang wakaf.

“Selagi kemudahan ini digunakan orang  ramai, pahala wakaf itu akan terus mengalir  kepada penyumbangnya,” katanya.

Menurutnya, idea mewujudkan projek  tersebut tercetus selepas Sultan Perak,  Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan  supaya kemudahan lebih selesa disediakan  kepada ahli keluarga pesakit dan mangsa  tragedi yang menunggu di hospital.

Katanya, projek rintis itu dilaksanakan  di Masjid Muhibbuddin Shah kerana telah  mempunyai Kamar Musafir sekali gus  melengkapkan keperluan penginapan  dengan kemudahan dobi.

Beliau berkata, projek bernilai lebih  RM240,000 itu dilengkapi lapan mesin  iaitu empat mesin basuh dan empat mesin  pengering, selain jawatankuasa masjid turut  diberi latihan pengurusan dan  penyelenggaraan bagi memastikan operasi  berjalan lancar.

Noraizad berharap kejayaan projek perintis itu dapat meningkatkan keyakinan  masyarakat untuk terus berwakaf sekali gus  membolehkan lebih banyak projek  berimpak tinggi dilaksanakan di seluruh  Perak.

Inisiatif dilaksanakan MAIPk itu selari  dengan Prinsip Pertama di bawah Pelan  Perak Sejahtera 2030 yang diilhamkan  Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad  iaitu Keseimbangan Pembangunan Fizikal  dan Sosioekonomi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!