Dana Inovasi Media 2.0 jadi pemangkin transformasi industri media - MPI

Yong Soo Heong
Yong Soo Heong
A
A
A

SHAH ALAM - Dana Inovasi Media 2.0 dijangka menjadi pemangkin kepada organisasi media untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja, memperkukuh keupayaan dan mempercepat usaha transformasi dalam menghadapi perkembangan industri yang semakin mencabar.

Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Yong Soo Heong berkata, organisasi media kini berdepan keperluan untuk mempergiat transformasi digital, memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), memperkukuh kewartawanan data dan meneroka model perniagaan baharu bagi memastikan kelangsungan operasi serta daya saing masing-masing.

"Oleh itu, MPI berpandangan bahawa sokongan berterusan kerajaan amat penting bagi memastikan organisasi media dan bidang kewartawanan terus berkembang, kekal relevan serta berupaya melaksanakan tanggungjawab menyampaikan maklumat yang berkualiti kepada masyarakat.

"MPI turut menghargai keyakinan Kerajaan terhadap peranan sektor media sebagai antara tonggak penting dalam pembangunan negara dan penyampaian maklumat kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sebelum ini, kerajaan meneruskan inisiatif Dana Inovasi Media menerusi pelaksanaan Dana Inovasi Media 2.0 dengan peruntukan RM30 juta bagi memperkukuh daya tahan dan daya saing industri media tempatan.

Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, empat skop pembiayaan sedia ada dikekalkan, dengan penambahan satu skop baharu menjadikan keseluruhannya lima skop pembiayaan.

Menurut beliau, permohonan dana itu dibuka mulai hari ini dan maklumat lanjut termasuk borang permohonan boleh diperoleh menerusi laman web danainovasimedia.komunikasi.gov.my.

Tambah Soo Heong, peruntukan itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi organisasi media, khususnya dalam menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi dan perubahan landskap industri yang semakin pesat.

"MPI menyambut baik keputusan kerajaan meneruskan sokongan kepada industri media menerusi peruntukan sebanyak RM30 juta di bawah Dana Inovasi Media 2.0.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga merakamkan penghargaan kepada Fahmi atas komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh ekosistem media yang mampan, inovatif dan bersedia menghadapi cabaran masa depan," ulasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!