‘KLCC’ bukan hanya di Malaysia

KLCC merupakan simbol ikonik Malaysia. Foto AFP
KLCC merupakan simbol ikonik Malaysia. Foto AFP
A
A
A

NEW DELHI – Kemegahan Menara Berkembar Petronas atau lebih dikenali masyarakat tempatan sebagai menara Kuala Lumpur City Center (KLCC) bukan sahaja menarik perhatian pelancong antarabangsa, malah seni binanya turut menjadi inspirasi pembinaan replika di beberapa lokasi luar negara, termasuk India dan Indonesia.

Terbaharu, sebuah replika menara berkembar itu dibina di Kalyanpur, daerah Munger, Bihar, India, sempena sambutan perayaan Durga Puja pada Oktober 2026.

Menurut laporan TV9 Hindi dan Amar Ujala, struktur sementara berkenaan dibangunkan dengan anggaran kos 30 juta rupee atau kira-kira RM1.2 juta.

Replika KLCC menghiasi lokasi sambutan Durga Puja di India. Foto Agensi
Replika KLCC menghiasi lokasi sambutan Durga Puja di India. Foto Agensi

Binaan setinggi kira-kira 52 meter itu menampilkan dua menara yang dihubungkan dengan jambatan, menyerupai reka bentuk asal Menara Berkembar Petronas di Kuala Lumpur.

Pembinaannya melibatkan puluhan tukang mahir dari beberapa negeri termasuk Jharkhand dan Bengal Barat, manakala tenaga kerja dari Delhi serta Uttar Pradesh bertanggungjawab menghasilkan hiasan kaca dan pencahayaan.

Selain menggunakan bahan seperti buluh, kayu dan kain, replika tersebut turut dilengkapi lampu LED, pancuran air buatan serta pertunjukan laser bagi menyerlahkan kemegahannya.

Penganjur menjadikan bangunan terkenal dunia sebagai tema tahunan bagi menarik pengunjung dan memeriahkan sambutan keagamaan yang mempunyai sejarah lebih 360 tahun di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Replika turut dibina di Bengal Barat

Fenomena itu sebenarnya bukan sesuatu yang baharu di India apabila sebuah lagi replika Menara Berkembar Petronas pernah menjadi tumpuan sempena Durga Puja di Kalyani, Bengal Barat pada September 2022.

Menara Berkembar Petronas di Kalyani, Bengal Barat. Foto: Agensi
Menara Berkembar Petronas di Kalyani, Bengal Barat. Foto: Agensi

Menurut India Today, binaan setinggi kira-kira 45 meter itu dihasilkan menggunakan kaca, papan lapis dan kayu, selain dihiasi pencahayaan menarik.

Kira-kira 70 pekerja terlibat dalam pembinaannya, sekali gus menjadikan struktur berkenaan antara tarikan utama pengunjung sepanjang perayaan berlangsung.

Terdahulu pada 2019, replika setinggi 27 meter turut dipamerkan sempena Pameran Pengguna Kebangsaan di Bengaluru.

Times of India melaporkan, binaan selebar 12 meter itu menggunakan kira-kira 50 tan keluli dan disiapkan dalam tempoh sebulan dengan penglibatan hampir 40 pekerja.

Replika tersebut turut diterangi lampu pada waktu malam bagi menghasilkan gambaran hampir menyerupai menara sebenar.

Indonesia tidak terkecuali

Sementara itu, sebuah struktur menyerupai Menara Berkembar Petronas di Pantai Lhokseudu, Aceh, Indonesia pernah mencetuskan perhatian pengguna media sosial pada Mei 2023.

KLCC di Indonesia. Foto Agensi
KLCC di Indonesia. Foto Agensi

Menurut Metro TV Indonesia, gambar binaan berkenaan yang dikongsikan menerusi laman media sosial mencetuskan perdebatan mengenai asal usul reka bentuknya.

Sebahagian pengguna menyifatkannya sebagai replika mercu tanda Malaysia, manakala pihak lain mendakwa struktur tersebut lebih menyerupai Candi Prambanan, kompleks candi Hindu terkenal di Indonesia.

Bagaimanapun, sumber inspirasi sebenar binaan itu tidak dapat dipastikan secara rasmi.

Menara Berkembar Petronas yang berketinggian sekitar 452 meter dan mempunyai 88 tingkat kekal sebagai antara mercu tanda seni bina terkenal dunia.

Walaupun kebanyakan replika tersebut dibina secara sementara atau sebagai tarikan pelancongan, kewujudannya membuktikan pengaruh reka bentuk mercu tanda Malaysia itu telah melangkaui sempadan negara. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!