PPZ-MAIWP sedia pelbagai kemudahan mudahkan bayar zakat

Kaedah pembayaran zakat yang disediakan oleh PPZ-MAIWP.
Kaedah pembayaran zakat yang disediakan oleh PPZ-MAIWP.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyediakan pelbagai kemudahan bagi memudahkan orang ramai membayar zakat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, pihaknya menggalakkan urusan pembayaran zakat dilakukan secara dalam talian melalui pautan www.zakat.com.my.

Menurutnya, segala urusan pembayaran, semakan, kiraan zakat serta cetakan resit rasmi boleh dilakukan menerusi pautan tersebut.

“Ramadan tahun ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya. Sebagai usaha membantu kerajaan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19, PPZ-MAIWP menyediakan pelbagai kemudahan untuk mudahkan orang ramai berzakat.

“Ia selari dengan moto PPZ-MAIWP iaitu ‘Memudahkan Anda Berzakat’,” katanya.

Ahmad Shukri berkata, PPZ-MAIWP juga baru melancarkan portal bagi pembayaran zakat fitrah secara dalam talian melalui pautan fitrah.zakat.com.my.

Menurutnya, portal tersebut diwujudkan atas dasar cakna dengan keperluan semasa memudahkan orang ramai menunaikan kewajipan Rukun Islam ketiga dengan lebih cepat, mudah dan selamat dengan hanya menggunakan gajet dari rumah.

Katanya, PPZ-MAIWP juga akan membuka lima cawangan kaunter bermula esok bagi memberi kemudahan kepada pembayar yang kurang mahir menggunakan platform digital atau dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Lima kaunter yang terlibat adalah Taman Shamelin Perkasa, Wangsa Maju, Taman Tun Dr Ismail, Putrajaya Presint 15 Diplomatik dan Labuan.

“Kaunter akan dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat sepanjang Ramadan bermula jam 9 pagi hingga 3 petang. Pembayaran zakat di semua kaunter PPZ-MAIWP boleh dibuat secara tunai, cek, kad debit dan kad kredit perbankan Islam.

“Dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19, PPZ-MAIWP akan mengambil langkah pencegahan seperti disarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan keselamatan pelanggan dan warga kerja PPZ-MAIWP terjamin,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh membuat bayaran zakat melalui ejen sah yang dilantik oleh PPZ-MAIWP termasuk 14 perbankan internet, PayHalal, MyEG, Pos Online dan juga pembayaran menggunakan e-wallet melalui U Mobile dan juga Boost.

Menurutnya, selain Zakat Fitrah, antara zakat harta yang digalakkan untuk ditunaikan sepanjang Ramadan bagi mendapat gandaan pahala adalah Zakat Pendapatan, Zakat Perniagaan, Zakat Wang Simpanan, Zakat Emas, Zakat KWSP dan Zakat Saham.

“Saya menyeru umat Islam di Wilayah Persekutuan merebut keberkatan hikmah Ramadan dengan berzakat agar lebih ramai asnaf dapat dibantu terutama di dalam keadaan yang sukar ini.

“Terima kasih juga diucapkan kepada semua pembayar zakat khususnya di Wilayah Persekutuan kerana menjadi ‘hero’ kepada asnaf,” katanya.