Dadah lebih 1 tan bernilai RM161.6 juta dirampas termasuk ditinggalkan di kawasan kubur

Amran (kanan) menunjukkan gambar kompresor yang digunakan untuk menyembunyikan dadah
Amran (kanan) menunjukkan gambar kompresor yang digunakan untuk menyembunyikan dadah
A
A
A

NILAI – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas lebih satu tan pelbagai jenis dadah bernilai RM161.667 juta menerusi empat operasi berasingan dalam tempoh dua minggu termasuk rampasan yang dilakukan di kawasan perkuburan.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Amran Ahmad berkata, rampasan terbesar dalam tempoh tersebut membabitkan 1,200.458 kilogram (kg) dadah pelbagai jenis termasuk methamphetamine, ganja, heroin dan kokain dalam operasi yang dijalankan sepanjang September hingga Oktober tahun ini.

Menurut beliau, antara rampasan yang dilakukan ialah dadah seberat 460.31kg bernilai RM23.015 juta yang ditemukan ditinggalkan di sebuah pondok dalam kawasan Perkuburan Siam Jejawi, Arau Perlis pada 10 Oktober lalu.

“Bertindak atas maklumat risikan, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Perlis melakukan pemeriksaan ke atas sebuah pondok di kawasan perkuburan berkenaan dan menemukan 17 kotak berwarna coklat yang ditinggalkan di dalam pondok tersebut.

“Hasil pemeriksaan mendapati kotak berkenaan mengandungi 228 bungkusan pelbagai warna yang disyaki dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM di sini pada Khamis.

Beliau berkata, sindiket dipercayai menggunakan pondok terbiar di kawasan perkuburan sebagai lokasi penyimpanan sementara dadah bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Amran ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM pada Khamis.
Amran ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM pada Khamis.

Selain itu, katanya, rampasan terbesar dari segi nilai membabitkan dadah bernilai RM123.87 juta di Pusat Kargo Pos Acceptant Advance, Bangunan MASKargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada 12 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

“Pemeriksaan terhadap sebuah kotak kayu yang diikrarkan mengandungi Hande Screw Air Compressor mendapati ia berisi guni yang mengandungi serbuk putih disyaki heroin seberat 161kg dan kokain seberat 246.65kg.

“Dalam operasi itu, dua lelaki tempatan berusia 27 dan 47 tahun yang dipercayai bertindak sebagai ejen ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam operasi pada 26 September lalu, Amran berkata, sebanyak 293.60kg methamphetamine bernilai RM14.68 juta dirampas di Bay Eksport Pos Aviation, Kargo Village, KLIA.

Menurut beliau, pemeriksaan dilakukan hasil maklumat risikan terhadap 16 kotak yang diikrarkan sebagai barangan tidak berbahaya.

“Hasil pemeriksaan mendapati empat kotak mengandungi alat ganti kenderaan, manakala 12 kotak lagi mengandungi 285 bungkusan plastik berisi serbuk kristal putih yang disyaki methamphetamine.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menyembunyikan dadah berkenaan di dalam kotak dagangan untuk dihantar ke Australia,” katanya.

Amran (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam empat operasi berasingan
Amran (tengah) menunjukkan dadah yang dirampas dalam empat operasi berasingan

Sementara itu, JKDM Pulau Pinang turut merampas 33kg ganja bernilai RM99,000 yang disembunyikan di bawah sebuah jeti haram terbiar berhampiran Jalan Dato Ali, Sungai Perlis pada 1 Oktober lalu.

Beliau berkata, kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!