Nepal perluas sistem amaran banjir

KATHMANDU – Pusat Penyelidikan Hidrologi dan Sumber Air Nepal menerbitkan Kertas Putih 2026-2027 yang menggariskan langkah untuk memperkukuh sistem amaran awal banjir, meningkatkan penyelidikan saintifik serta memastikan pengurusan sumber air negara itu dilaksanakan secara mampan.
Kertas Putih itu turut menekankan penggunaan teknologi moden, sistem data terbuka dan penyelidikan saintifik bagi melindungi nyawa serta harta benda.
Pusat berkenaan beroperasi di bawah Sekretariat Suruhanjaya Air dan Tenaga dengan matlamat untuk menjadi institusi saintifik terkemuka di Asia Selatan menjelang 2031.
Antara langkah utama yang dirancang ialah memperluas sistem amaran awal banjir di enam lembangan sungai utama serta mengurangkan paras air di empat tasik glasier berisiko tinggi.
Peningkatan suhu di kawasan Himalaya mempercepatkan pencairan glasier, sekali gus meningkatkan risiko runtuhan salji dan banjir akibat limpahan tasik glasier. Ancaman itu mendorong Kathmandu mengambil pendekatan berasaskan teknologi menerusi pelan strategik lima tahun bagi mempertingkatkan pengurusan risiko bencana.
Sistem amaran banjir itu akan dipasang di lembangan sungai Mawa-Ratuwa, Bakraha, Lakhandehi, Rapti Timur, Rapti Barat dan Mohana-Khutiya di bawah Projek Pengurusan Risiko Banjir di Lembangan Sungai yang diberi Keutamaan.
Dilancarkan pada 2022, projek itu dijadualkan berlangsung sehingga 2028 dengan peruntukan sebanyak AS$7.54 juta (RM30.8 juta). Kertas Putih itu turut menyatakan Projek Penambahbaikan Bagmati sedang dilaksanakan.
Menurut Kementerian Tenaga, Sumber Air dan Pengairan, inisiatif itu meneruskan usaha terdahulu untuk mengurangkan paras air di Tasik Tsho Rolpa yang terletak di Lembah Rolwaling, daerah Dolakha dan Tasik Imja di Solukhumbu. Pemerintah turut merancang untuk melaksanakan langkah pengurangan risiko yang sama di empat tasik glasier lain yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Kertas Putih itu menyatakan bahawa Nepal mempunyai rangkaian lebih daripada 250 stesen pemantauan bagi mengumpulkan data hidrologi dan meteorologi secara masa nyata.
Rangkaian itu merangkumi 250 stesen pemantauan paras sungai, 15 stesen pemantauan tasik glasier, 13 stesen pemantauan glasier dan air serta 50 stesen pemantauan hujan automatik. Selain itu, terdapat 33 stesen pemantauan sedimen dan 33 stesen pemantauan kualiti air. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

