[VIDEO] PRN Melaka: Kemenangan BN lebih penting daripada pertikaian kerusi

LUMUT – Barisan Nasional (BN) perlu mengutamakan usaha memenangi 21 kerusi yang ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka berbanding mempertikaikan soal pembahagian kerusi dalam kalangan parti komponen.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata sebarang perbezaan pandangan berhubung pemilihan calon dan agihan kerusi perlu diselesaikan menerusi perbincangan dalaman selaras dengan tradisi gabungan itu.
Menurutnya, keputusan yang dicapai secara bersama perlu dihormati oleh semua pihak bagi memastikan tumpuan tidak terpesong daripada matlamat utama BN untuk memenangi kerusi yang ditandingi.
“Perkara yang paling mustahak diberikan perhatian ialah kemenangan BN. Apa juga keputusan yang dibuat, fokus utama mestilah kemenangan BN.
“Dengan tumpuan yang telah diumumkan iaitu kepada 21 kerusi yang diperuntukkan kepada BN, sewajarnya semua pihak memberi perhatian kepada usaha memenangkan kerusi-kerusi tersebut,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Lunak Pusat Kecemerlangan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH Excellence) Pangkor 2026 di PSH Excellence Pangkor @ Kolej Komuniti Manjung, Taman Pangkor Mutiara, Jalan Pasir Bogak, di sini pada Ahad.
Mengulas lanjut, Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, perbezaan pendapat dalam kalangan parti komponen ketika proses pemilihan calon adalah perkara biasa dan perlu ditangani melalui perbincangan secara tertutup.
Menurutnya, BN mempunyai tradisi menyelesaikan sebarang ketidakpuasan hati menerusi rundingan dalaman tanpa mencetuskan pertelagahan secara terbuka.
“Puas hati atau tidak, kita duduk berbincang semula.
“Tetapi apabila keputusan telah dibuat, itu adalah keputusan bersama,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada proses pembahagian kerusi telah dimuktamadkan, beliau meminta semua pihak merujuk kepada penjelasan yang telah diberikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sebelum ini, media melaporkan MCA tidak akan mengiktiraf mana-mana calon parti itu yang diumumkan BN bagi PRN Melaka ke-16 tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi parti berkenaan.
Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, dilaporkan berkata tindakan mengumumkan calon tanpa rundingan dan persetujuan MCA tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila kerusi yang sebelum ini ditandingi parti itu didakwa diberikan kepada parti lain.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

