Menyamar polis buat sekatan jalan sebelum samun

Gambar hiasan (Gambar kecil: Shafee Abd Samad)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Shafee Abd Samad)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Polis sedang mengesan dua lelaki menyamar sebagai anggota polis dan mengadakan sekatan jalan raya sebelum cuba menyamun pengguna jalan raya lain di Jalan Sungai Lembu, Machang Bubok, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, dalam kejadian jam 6.10 pagi itu, mangsa yang juga lelaki berusia 42 tahun sedang memandu seorang diri melalui Jalan Sungai Lembu ke Kulim Hi-Tech.

Menurutnya, mangsa yang juga penyelia kilang kemudiannya memberhentikan kereta Toyota Vios dipandunya selepas ternampak sekatan jalan raya dengan beberapa kon dipasang di jalan raya selain terdapat dua lelaki memakai ves kuning tertera logo polis yang memakai topeng muka.

"Suspek menurunkan tingkap keretanya untuk diperiksa namun setelah ditanya, salah seorang suspek cuba meragut rantai emas mangsa dan mencederakannya dengan objek tajam, namun mangsa tidak pasti objek tersebut kerana tidak jelas," katanya ketika dihubungi tadi.

Menurutnya, mangsa sempat melarikan diri sebelum rantainya diragut.

Akibat kejadian itu katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahu kanan dan menerima tiga jahitan di Hospital Kulim, Kedah.

"Mangsa tidak mengecam wajah suspek kerana mereka memakai penutup muka. Siasatan mendapati, lokasi kejadian tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan lampu jalan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan semakan pihaknya, tiada sebarang penugasan sekatan jalan raya di kawasan kejadian.

Artikel Berkaitan:

"Ketika kejadian, tiada saksi bebas. Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kerugian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.