Malaysia naik 22 mata indeks Kebebasan Media Dunia 2020

Malaysia menduduki tempat ke-101 dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020.
Malaysia menduduki tempat ke-101 dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia mencatatkan peningkatan ketara apabila naik 22 mata untuk menduduki tempat ke-101 dalam indeks tahunan Kebebasan Media Dunia 2020 oleh kumpulan bukan berasaskan keuntungan Reporters Without Borders (RSF).

Dalam indeks 2020, Malaysia turut mengatasi rakan serantau dalam ASEAN termasuk Indonesia (119), Filipina (136), Myanmar (139), Thailand (140), Kemboja (144), Brunei (152), Singapura (158), Laos (172) dan Vietnam (175).

Menurut RSF, skor Malaysia turun sebanyak 3.62 mata kepada 33.12 pada 2020, dan skor lebih rendah menunjukkan lebih kebebasan media.

Dalam profil negara bagi Malaysia, RSF menggambarkan kebebasan media di negara itu mendapat 'nafas baharu' selepas kekalahan mengejut buat pertama kalinya gabungan parti pemerintah pimpinan Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya umum pada Mei 2018.

Ia turut mengambil perhatian bahawa portal-portal berita yang disenarai hitam seperti Sarawak Report dapat beroperasi semula tanpa bimbang akan diganggu. Malaysia menduduki tempat ke-123 dengan skor 36.74 dalam indeks tahun lepas.

Dalam indeks Kebebasan Media Dunia 2020, 10 negara teratas dengan ranking terbaik bagi kebebasan media ialah Norway, Finland, Denmark, Sweden, Netherlands, Jamaica, Costa Rica, Switzerland, New Zealand dan Portugal.- Bernama

Artikel Berkaitan: