Sultan Sharafuddin baca semua surat rakyat

Tengku Zafrul (kiri) bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disifatkannya sebagai pemerintah teliti dan sentiasa mengambil berat suara rakyat.
Tengku Zafrul (kiri) bersama Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disifatkannya sebagai pemerintah teliti dan sentiasa mengambil berat suara rakyat.
A
A
A

PUTRAJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bukan sahaja membaca semua surat yang dikirimkan kepada baginda, malah mengumpulkannya untuk diteliti bagi mengetahui sendiri masalah dan pandangan rakyat.

Perkara itu didedahkan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang menyifatkan Sultan Sharafuddin sebagai pemerintah yang teliti, kuat membaca dan sentiasa mengikuti perkembangan Selangor, Malaysia serta dunia.

Menurutnya, baginda turut meminta pegawai mencetak artikel untuk dibaca, walaupun kini baginda juga mendapatkan maklumat menerusi telefon.

Sikap suka membaca itu tidak terhad kepada urusan negeri kerana baginda mengikuti perkembangan kerajaan Persekutuan dan berita antarabangsa, sekali gus memahami isu dari pelbagai sudut.

“Baginda cerita pasal surat-surat. Sultan Sharafuddin baca semua surat yang ditulis kepada beliau.

“Baginda kumpulkan (surat), selain itu, baginda banyak membaca artikel mengenai kerajaan negeri, mengenai Malaysia juga serta tahu apa yang berlaku di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di sini pada Rabu sempena Jubli Perak pemerintahan Sultan Selangor.

Tengku Zafrul Foto: Rosli Talib
Tengku Zafrul Foto: Rosli Talib

Artikel Berkaitan:

Tengku Zafrul berkata, ketelitian itu turut terlihat melalui nasihat baginda supaya pemimpin tidak hanya mendengar pandangan yang sehaluan dengan mereka sebelum membuat keputusan.

“Tuanku selalu nasihati semua orang termasuk saya supaya kita ada kecenderungan tertentu, tetapi kita kena jumpa semua (pihak) supaya kita dapat dengar sendiri,” katanya.

Baginya, nasihat tersebut menjadi panduan ketika berkhidmat sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), khususnya ketika meneliti pandangan pelbagai pihak dalam penggubalan dasar.

Beliau mengakui seseorang pemimpin mungkin mempunyai kecenderungan sendiri, namun prinsip yang ditekankan baginda ialah membuka ruang kepada semua pihak untuk menjelaskan pendirian mereka secara langsung.

Sultan Sharafuddin juga, katanya, menekankan keperluan memberikan respons pantas dan penjelasan yang jelas apabila timbul isu melibatkan rakyat.

Baginda tidak teragak-agak menegur perkara yang memerlukan perhatian, termasuk kebersihan, pengurusan negeri dan banjir.

Menurutnya, kepekaan tersebut mendorong baginda mengikuti bagaimana sesuatu isu dijelaskan kepada masyarakat kerana rakyat juga mahu mengetahui pendirian istana apabila timbul persoalan yang penting.

Tengku Zafrul berkata, komunikasi aktif Istana Selangor membolehkan rakyat mengetahui pendirian baginda terhadap isu semasa, termasuk perkara sensitif yang menyentuh kepentingan masyarakat.

Baginda turut mengambil iktibar daripada perkembangan institusi diraja di negara lain, termasuk cara institusi tersebut menyesuaikan hubungan dengan masyarakat yang berubah.

“Ini penting kalau tidak kadang-kadang rakyat tak tahu. Rakyat pun hendak tahu sebenarnya,” ujarnya.

Menurut Tengku Zafrul, Sultan Sharafuddin tidak melihat isu berdasarkan kepentingan mana-mana parti politik.

“Tuanku memang sangat neutral dalam isu ini. Asalkan isu itu baik untuk negeri dan juga untuk rakyat Selangor,” katanya.

Teksi London

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut berkongsi kisah kesederhanaan Sultan Sharafuddin ketika berada di London kira-kira tiga tahun lalu.

Menurutnya, selepas tiba di lapangan terbang, baginda memilih beratur seperti penumpang lain untuk menaiki teksi tanpa meminta layanan khas. Baginya, kejadian itu memperlihatkan sisi peribadi Sultan Selangor yang selesa menjalani urusan harian tanpa protokol berlebihan.

Kisah di lapangan terbang itu, katanya, berlaku ketika urusan peribadi baginda dan menunjukkan bahawa kedudukan sebagai Sultan tidak menghalang baginda menunggu giliran seperti orang lain.

Tengku Zafrul menerima cenderamata daripada Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa. Foto: Rosli Talib
Tengku Zafrul menerima cenderamata daripada Pengarang Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa. Foto: Rosli Talib

Tengku Zafrul turut mengimbas acara larian yang menyaksikan baginda bukan sekadar menyempurnakan pelepasan peserta, malah berjalan sejauh tiga kilometer untuk bertemu serta beramah mesra dengan orang ramai.

Beliau berkata, walaupun mempunyai pertalian keluarga, hubungannya dengan baginda menjadi lebih rapat ketika menerajui CIMB melalui pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Kerjasama itu bukan hanya melibatkan Selangor, malah program di seluruh negara, yang membuka lebih banyak peluang untuk beliau melihat sendiri perhatian Sultan Sharafuddin terhadap masalah masyarakat.

Antaranya, usaha Yayasan CIMB menangani kebankrapan dalam kalangan belia dan meningkatkan literasi kewangan melalui program di universiti yang turut melibatkan Sultan Sharafuddin dan Raja Muda Selangor.

“Pada masa itu, banyak isu mengenai orang muda yang muflis, jadi kita adakan program tanggungjawab sosial korporat termasuk program di universiti dengan penglibatan Raja Muda Selangor,” ujarnya.

Katanya, penglibatan baginda dalam usaha mendekati anak muda menunjukkan perhatian terhadap cabaran mereka, bukan sekadar menerima laporan tentang masalah tersebut.

Hubungan itu berterusan apabila Tengku Zafrul menyertai kerajaan dan menerima nasihat baginda tentang pentadbiran serta kepentingan rakyat.

Tengku Zafrul berpandangan institusi diraja perlu memahami perubahan zaman dan harapan masyarakat supaya peranannya kekal relevan dalam sistem Raja Berperlembagaan.

Sambutan Jubli Perak tahun ini memperingati 25 tahun pemerintahan Sultan Sharafuddin sejak 22 November 2001.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!