Suami maut, isteri hamil tujuh bulan cedera dalam kemalangan dua treler

SUNGAI BESAR – Seorang pemandu treler maut, manakala isterinya yang hamil tujuh bulan mengalami kecederaan ringan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan berat di Kilometer 1, Jalan Tebuk Marso, Lebuhraya Persekutuan di sini awal pagi Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.49 pagi itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun meninggal dunia selepas tersepit di tempat duduk pemandu treler jenis Volvo yang membawa muatan kontena.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, isteri mangsa yang berusia 26 tahun dan sedang hamil tujuh bulan bagaimanapun terselamat selepas berjaya dikeluarkan orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Menurutnya, wanita berkenaan hanya mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke hospital oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 2.49 pagi sebelum sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Besar bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kemalangan itu membabitkan sebuah treler Volvo membawa muatan kontena dan sebuah lagi treler jenis Hino yang membawa muatan besi seberat 36 tan.
"Setiba di lokasi, didapati pemandu treler Volvo tersepit di bahagian pemandu dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Penumpangnya yang juga isteri mangsa sudah dikeluarkan oleh orang awam, manakala pemandu treler Hino tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Ashrul Riezal berkata, anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum berjaya membawa keluar mangsa pada jam 4.15 pagi.
Bagaimanapun, katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Isteri mangsa mengalami kecederaan ringan dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

