[VIDEO] Pesalah kemalangan jalan raya bakal tanggung pampasan kepada mangsa, waris

PUTRAJAYA – Pesalah kemalangan jalan raya bakal dipertanggungjawabkan membayar pampasan kepada mangsa atau waris sebagai tambahan kepada hukuman penjara, denda dan hilang kelayakan memandu menerusi pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang sedang digubal kerajaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu menyusul selepas Jemaah Menteri pada Rabu lalu memberikan persetujuan secara dasar terhadap cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mewujudkan mekanisme pampasan kepada mangsa kemalangan jalan raya serta memperkukuh sistem pemberian mata demerit Keselamatan Jalan Raya (KEJARA).
Menurutnya, cadangan berkenaan bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja menerima hukuman jenayah, malah bertanggungjawab terhadap kesan perbuatan mereka ke atas mangsa dan keluarga mangsa.
"Cadangan ini bertujuan memastikan pesalah bukan sahaja dikenakan hukuman seperti penjara, denda dan hilang kelayakan memandu, malah turut dipertanggungjawabkan terhadap kesan perbuatannya kepada mangsa serta keluarga mangsa," katanya pada sidang akhbar di kementeriannya di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, mekanisme baharu itu akan meliputi pelbagai kesalahan serius termasuk kemalangan membabitkan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah, pemanduan melulu dan kesalahan lain yang mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Anthony berkata, ketika ini mangsa atau waris lazimnya perlu memfailkan tuntutan sivil bagi mendapatkan pampasan, namun proses itu memerlukan kos guaman selain mengambil masa yang panjang.
"Kadangkala mereka tidak mampu mendapatkan keadilan melalui mahkamah sebab perlu mengambil tindakan sivil dan melantik peguam. Bukan semua orang mempunyai kemampuan itu dan prosesnya boleh mengambil masa bertahun-tahun.
"Jadi sekarang ini kita nak letakkan mekanisme itu juga di bawah kes jenayah supaya ada elemen pampasan kepada keluarga mangsa," ujarnya.
Beliau menjelaskan, jumlah pampasan tidak akan ditetapkan secara automatik oleh kerajaan, sebaliknya diputuskan oleh mahkamah berdasarkan fakta dan merit setiap kes.
Antara faktor yang akan dipertimbangkan ialah tahap keseriusan kesalahan, kecederaan atau kehilangan nyawa, kerugian yang dialami mangsa atau waris serta kemampuan pesalah untuk membayar.
Dalam masa sama, hak mangsa atau waris untuk membuat tuntutan insurans atau mengambil tindakan sivil mengikut saluran perundangan sedia ada akan terus dikekalkan.
Mengulas proses seterusnya, Anthony memaklumkan kementeriannya akan mengadakan sesi libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan, syarikat insurans serta pihak berkepentingan bagi memperincikan mekanisme pelaksanaan sebelum rang undang-undang dimuktamadkan.
Katanya, kerajaan juga akan mengadakan bengkel bagi meneliti semua aspek pelaksanaan termasuk isu berkaitan takrif kecederaan serius, kaedah penentuan pampasan serta mekanisme sekiranya pesalah tidak berkemampuan membayar.
"Kita tidak mahu tergesa-gesa kerana rang undang-undang (RUU) ini akan memberi kesan jangka panjang kepada sistem perundangan dan keselamatan jalan raya negara.
"Kita mahu menghasilkan satu kerangka undang-undang yang jelas, adil, boleh dilaksanakan serta mendapat sokongan semua pihak," katanya.
Menurut beliau, jika proses penggubalan berjalan lancar, kerajaan menyasarkan rang undang-undang itu dapat dibentangkan pada persidangan Parlimen hujung tahun ini selepas pembentangan Belanjawan 2027.
"Anthony turut mencadangkan supaya rang undang-undang berkenaan dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi membolehkan penelitian lebih menyeluruh dibuat sebelum ia diluluskan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

