Penugasan unit K9 di KLIA bermula Isnin - MAHB

PUTRAJAYA - Penugasan unit anjing pengesan (K9) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan bermula Isnin ini, susulan peningkatan pemantauan disebabkan beberapa kes penyeludupan dadah rentas negara baru-baru ini, yang dikesan dari lapangan terbang itu.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, penugasan itu merangkumi kawasan tumpuan penumpang seperti balai pelepasan, balai ketibaan dan kawasan pemeriksaan kastam bagi membolehkan pengesanan awal barangan terlarang serta potensi ancaman keselamatan berkaitan dengan penerbangan tertentu.
Beliau berkata, penugasan K9 juga diperluas ke kawasan pengendalian dan pengasingan bagasi bagi memperketat pemeriksaan terhadap bagasi daftar masuk sebelum dimuatkan ke dalam pesawat atau dihantar ke karusel tuntutan bagasi.
"Pendekatan keselamatan berlapis ini bermatlamat memperkukuh kawalan di kawasan tumpuan penumpang dan operasi dalaman lapangan terbang, sekali gus melengkapi langkah keselamatan sedia ada,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Izani berkata, fasa percubaan akan dilaksanakan bagi menilai keberkesanan lokasi penugasan ditetapkan serta mengenal pasti keperluan untuk menyesuaikan aliran pergerakan penumpang dan jadual operasi unit berkenaan.
Beliau berkata, KLIA akan menyelaraskan urusan operasi bersama-sama agensi berkaitan termasuk penyediaan prosedur operasi standard (SOP), penetapan laluan akses khusus bagi unit K9 dan pengendaliannya serta penyediaan kemudahan sokongan yang bersesuaian di dalam terminal bagi memastikan kelancaran operasi.
"Kerjasama ini akan membolehkan anggota Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) kami terus menumpukan perhatian kepada tanggungjawab utama mereka dalam memastikan keselamatan pengguna dan kemudahan lapangan terbang.
"Kami akan terus memberikan sokongan kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta unit K9 bagi memastikan KLIA kekal sebagai lapangan terbang yang selamat, selesa dan bersih untuk semua,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M Ravi berkata, polis telah meningkatkan rondaan unit K9 yang sebelum ini dijalankan secara berkala bagi memperketat kawalan keselamatan di lapangan terbang itu susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Usaha itu dilakukan susulan perhatian orang ramai terhadap prosedur pemeriksaan di pintu masuk antarabangsa utama negara, berikutan penahanan beberapa rakyat Malaysia di luar negara kerana membawa bahan narkotik terlarang.
Pada 10 Oktober, pegawai kastam Jepun di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda, Tokyo menahan lima rakyat Malaysia terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia antara 19 hingga 26 tahun selepas menemukan kira-kira lima kilogram kokain bernilai 120 juta yen atau RM3.1 juta yang disembunyikan dalam pelapik kasut yang telah dilubangkan.
Bukit Aman mengesahkan kumpulan berkenaan berlepas dari KLIA Terminal 2 dan dipercayai berperanan sebagai keldai dadah dengan bayaran RM8,000 seorang.
Pada Julai lepas, seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial warga Malaysia berusia 39 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, selepas lebih 70,000 pil ekstasi seberat kira-kira 26 kilogram serta satu peket methamphetamine ditemukan di dalam bagasinya.
Keperluan untuk memperketat langkah keselamatan di lapangan terbang semakin mendesak selepas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan, semalam mendedahkan sindiket dadah antarabangsa sedang mengubah taktik bagi mengelak dikesan di lapangan terbang.
Beliau berkata, antara modus operandi digunakan ialah membuat tempahan penerbangan pada saat akhir bagi keldai dadah atau sengaja memilih penerbangan pada waktu puncak di KLIA untuk mengambil kesempatan daripada kesesakan penumpang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
