Ayam tidak disembelih: Berapa lama hendak disiasat? - Radzi Jidin

Radzi Jidin
Radzi Jidin
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu memberi penjelasan segera mengenai tempoh siasatan, kebenaran operasi dan rangkaian pengedaran ayam yang diproses syarikat yang bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Ia susulan tular video berkaitan isu kebersihan dan cara ayam itu diproses di sebuah premis di ibu negara.

Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, semalam beliau meminta supaya semua pihak berkuasa yang terlibat mengambil tindakan segera kerana perkara ini melibatkan status halal haram dan keselamatan makanan.

Menurut beliau, pihak JAKIM kemudiannya mengeluarkan kenyataan menjelaskan bahawa syarikat tersebut bukan pemegang SPHM dan siasatan sedang dijalankan bersama pihak berkuasa tempatan.

"Persoalanya, berapa lama hendak disiasat, siapa pemilik premis itu dan adakah di sepanjang tempoh siasatan, pusat pemprosesan ayam tersebut dibenarkan meneruskan operasi mereka?

"Jika ya, ke mana mereka bekalkan ayam yang diragui status halalnya? Apakah ayam yang diragui kaedah penyembelihannya ini akan terus dijual di pasaran sebagai ayam yang halal?" ujarnya menerusi Thread pada Rabu.

Sebelum ini, tular tangkap layar rakaman video penstriman langsung di TikTok berhubung dakwaan seorang pembekal ayam di Kuala Lumpur tidak menyembelih ayam tersebut, sebaliknya mencampakkannya ke dalam air panas hidup-hidup.

Tambah Mohd Radzi, ramai yang tertanya-tanya sama ada ayam yang dibekalkan oleh pusat pemprosesan tersebut halal atau tidak.

"Kita tidak tahu berapa banyak lagi pusat pemprosesan yang mengambil mudah kaedah penyembelihan menyebabkan status halalnya diragui.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu, perlu ada penjelasan segera tentang hal ini," katanya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!